Proton X70 boleh dikatakan SUV yang agak laris sejak ia dilancarkan pada Disember lalu. SUV pertama daripada Proton hasil kerjasama dengan Geely ini, kini sudah beribu unit berada di jalan raya. Ternyata, usaha Proton dengan memperkenalkan X70 ini bertepatan, apatah lagi sejak kebelakangan ini makin ramai yang memilih SUV sebagai kenderaan keluarga kerana faktor saiznya.

Biar pun sudah berbulan berada di pasaran, sehingga kini, kami sendiri banyak menerima pertanyaan mengenai SUV ini. Soalan paling utama, sudah pasti mengenai prestasi dan penjimatan bahan apinya. Jadi, untuk tidak menghampakan sesiapa yang ingin mengetahui mengenai SUV sulung Proton ini, nah ulasan pandu uji dari kami..khas untuk anda.

Kami diberikan varian X70 1.8 TGDI Premium 2WD untuk dipandu selama beberapa hari. Ini merupakan varian yang paling tinggi, selain model Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD yang turut membarisi X70 yang dibangunkan berasaskan model Geely Boyue.

Untuk kesemua varian, tiada perbezaan daripada sudut mekanikalnya. Ia dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 1.8 liter turbo TGDi empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Ada yang bertanya, enjin 1.8 liter turbo TGDI ini cukupkah membawa beban badannya yang besar? Varian 2WD yang seberat 1,700 kg ini jika dinikmati dengan padanan enjinnya, boleh dikatakan pada tahap sederhana. Tidaklah begitu cemerlang, gemilang dan terbilang. Tidak juga teruk tahapnya. Bergantung pada keadaan jalan, X70 boleh bertukar karakteristik.

Penulis mengambil keputusan melenjan X70 mengikut pelbagai corak jalan, termasuk lebuhraya, di kawasan bandar dan jalan kampung. Tekak yang teringin nak makan patin tempoyak, mengundang idea untuk ke Temerloh, Pahang. Ketika dipacu di lebuhraya, X70 memang cukup selesa dipandu.

Cuma apabila merentasi laluan berbukit terutamanya di Lebuhraya Karak, prestasinya sedikit menguji. Enjinnya terpaksa dikerah untuk memberikan impak prestasi sewaktu melalui laluan berbukit. Puas pedal pendikit ditekan sehabis mungkin, agak lambat juga enjinnya untuk mengekalkan momentum mengikut kelajuan yang diingini. Tidak berpuas hati dengan laluan di Lebuhraya Karak, penulis sempat lajak ke Genting Highlands. Sama juga prestasinya. Untuk mendaki laluan berbukit, enjin 1.8 liter turbo dirasakan kurang bertenaga melainkan kerahan pedal pendikit dilakukan, selain terpaksa menukar ke mod Sport.

Walau bagaimana pun, ia tidaklah begitu mengecewakan, kerana X70 seakan mengerti keluhan rasa penulis. Ledakan enjinnya mampu dirasai sewaktu momentum kelajuan sudah dicapai, dan seterusnya beraksi dengan keadaan yang serba sederhana.

Mengenai kotak gearnya, adakalanya penukaran gearnya agak perlahan dan macam ‘terpaksa’ saja’ (melainkan memilih mod manual dan gear ditukar sendiri dengan pedal penukar gear). Tapi mujur juga X70 tidak dipadankan dengan punch CVT seperti mana model Proton baharu yang lain, mesti lagi tak berapa best. Gabungan enjin dan kotak gear ini membolehkan X70 mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 11.5 saat.

X70 ini juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Sport, Eco dan Normal. Ketiga-tiganya memang memberikan ‘rasa’ pemanduan yang berbeza. Untuk pemanduan yang lebih mantap dan bertenaga, sudah tentu mod Sport mampu menzahirkannya. Malah respon enjinnya juga lebih pantas apatah lagi dengan menggunakan mod manual untuk anjakan gear yang lebih padu. Tapi bila pilih mod Eco, SUV ini seakan kurang bertenaga atau dalam erti kata lain, ‘under power’. Kalau nak pemanduan yang biasa, senang cerita, pilih saja mod Normal.

Ketiga-tiga mod ini akan melibatkan perubahan warna pada bahagian meter; warna putih bagi mod Normal, beralih ke Eco dalam warna hijau dan terakhir mod Sport dalam warna merah untuk memudahkan pemandu serta mewujudkan kelainan rasa pemanduan bagi setiap mod yang ada.

Walau bagaimana pun, tidak dinafikan mengendalikan X70 ini agak menyenangkan dan selesa jika mahukan pemanduan yang sederhana, terutamanya di lebuhraya. Cukup sesuai untuk dijadikan pengangkutan sekeluarga. Yelah, nak bawak keluarga tersayang, bukan nak jadi jaguh jalanan kan.

Malah kuasa olengan badannya juga berada pada kadar sederhana. Malah walau pun unit X70 ini diproduksi di China (CBU), namun ia ternyata mampu menyesuaikan diri dengan keadaan jalan di Malaysia. Kadar NVH yang terhasil juga jarang menggusarkan. Ketika SUV dipacu laju di lebuhraya misalnya, bunyi bising dari luar termasuk yang terhasil oleh enjin dan seretan tayar serta desiran angin tidak keterlaluan menderu masuk ruangan kabin. Namun penulis kurang mengemari ‘rasa’ yang diserlahkan oleh roda sterengnya. Agak ringan dan kurang ‘feel’.

Bagaimana pula dengan penggunaan bahan apinya? Ini soalan yang cukup popular ditanya. Menerusi Driven Series episod X70 menentang pesaing terdekatnya iaitu Honda CR-V 1.5 TC Premium dan Subaru XV terbaharu, turut diuji ialah penjimatan bahannya apinya di mana SUV sulung Proton ini mencatatkan 10.2 km bagi setiap liter. Berbanding dengan ujian yang dilakukan oleh Proton iaitu 12.8 km/L.

Untuk aspek keselamatannya, ia didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan, Isofix, kawalan kelajuan, bantuan mula mendaki, sistem brek sendiri, bantuan kekal lorong, dan amaran pelanggaran. Paling menarik, ia turut dilengkapi sistem Advanced Driver Assistance System(ADAS) yang menggunakan kamera dan radar ini menghasilkan pelbagai ciri keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW, amaran atau bantuan fizikal pada stereng), Blind Spot Information System(BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC yang dapat merendahkan kembali lampu tinggi secara automatik apabila ada kenderaan yang datang).

Bagi anda yang belum berkesempatan melihat X70 ini dihadapan mata, SUV lima-tempat duduk ini boleh tahan luas juga. Ia mempunyai dimensi 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,694 mm tinggi serta jarak roda 2,670 mm. Bagi memudahkan anda membuat perbandingan, SUV Proton ini adalah 77 mm lebih pendek dan 24 mm kurang lebar dari CR-V, tetapi 15 mm lebih tinggi dan mempunyai jarak roda 10 mm lebih panjang dari SUV segmen-C Honda tersebut.

Kalau ditanya, apakah faktor X yang mampu membuatkan X70 ini berkaliber untuk menjadi SUV paling popular di Malaysia (selain harganya yang lebih murah berbanding pesaingnya), sudah tentu imej dan ciri-ciri yang ditampilkan.

Biarpun ia dibangunkan berasaskan model Boyue facelift, namun rekaannya sedikit berbeza dengan menampilkan sentuhan ‘ala Malaysia’ buat X70 ini. Gril hadapannya diinspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi Melayu.

Digandingkan dengan lampu utama LCD projektor adaptif dengan lampu tinggi auto bersama lampu kabus hadapan dan lampu nyalaan siang LED. Begitu juga dengan rim aloi pelbagai-jejari 19-inci yang membantu menyerlahkan lagi gayanya. Ia juga ditampilkan dengan lampu yang dipancarkan pada permukaan tanah apabila pintu hadapan dibuka.

Walau bagaimana pun, pandangan mata penulis lebih menyenangi karakteristik bahagian belakangnya, nampak sedikit premium dengan penampilan dua paip ekzos dengan bar bampar bawah kemasan krom. Malah di bahagian tengahnya, perkataan Proton diangkat lebih menyerlah, seperti sifat yang ditampilkan pada model Volvo. Daripada sudut pandangan belakang, SUV ini kelihatan lebih tinggi dan nampak sedikit garang.

Masuk ke kabin, terserlah gaya sofistikated, umpama SUV premium. Dan boleh dikatakan hampir keseluruhan imejnya adalah senada dengan Boyue facelift. Namun Proton turut memberikan ‘sentuhan Malaysia’ pada bahagian dalaman X70. Jika gril pembesar suara dan kemasan bahagian belakang pembuka pintu Boyue diberikan rekaan ‘G’ yang membentuk motif seperti dinding tembok besar negeri China, komponen yang sama pada X70 menerima elemen infinite weave seperti pada gril hadapan.

Antara ciri yang didatangkan untuk varian ini termasuklah sistem infotainmen GKUI yang dibekalkan menggunakan asas Android, dan datang sekali dengan kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi, tempat duduk balutan kulit Nappa berwarna perang, larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, kamera pandangan 360 darjah, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa dan bumbung panoramik.

Selain itu ada ciri tersembunyi yang ditampilkan pada X70 iaitu satu punca USB port yang diletakkan di belakang cermin pandang belakang. Ia membolehkan pemilik memasang dash cam dengan saluran punca kuasa menggunakan USB port tanpa wayarnya melintangi bahagian papan pemuka jika menggunakan port di bahagian lain.

Ia turut dilengkapi brek parkir elektronik, butang penghidup enjin, paparan skrin sesentuh 8.0-inci dengan arahan suara yang menguja dan popular dengan ayat “Hi Proton!”, 9-pembesar suara Kenwood dan Power Amplifier, subwoofer, kawalan suhu dwi-zon dengan sistem Air Purifier.

Malah ia turut didatangkan dengan ciri lebih maju yang tidak ada pada saingan sekelasnya. Antaranya adalah hubungan dengan aplikasi telefon pintar untuk semua varian yang memaparkan pelbagai maklumat seperti jarak yang boleh dicapai dengan bahan api yang ada, purata penggunaan bahan api, jarak untuk servis seterusnya, serta boleh mengawal pelbagai fungsi seperti lampu dan juga kunci.

Bagi keselesaan di dalam kabin, sebagai pemandu atau penumpang di sebelah memang cukup menyenangkan. Tetatpi jika duduk di bahagian belakang, terasa sedikit kurang selesa sebab kedudukan penyandarnya yang sedikit menegak. Selain itu, ciri lain yang bagi pendapat penulis tidak perlu diwujudkan dalam X70 ini ialah grab handle yang terletak di tengah-tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang. Bagai tiada fungsinya walau pun mungkin ciri ini membuatkan ia nampak lebih premium dan mewah.

Walau bagaimana pun, ruang dalamannya boleh dikatakan agak luas untuk SUV lima-tempat duduk. Ruang kaki dan ruang kepala untuk tempat duduk belakang juga pada tahap yang selesa biar pun mungkin melibatkan penumpang bertubuh tinggi dan besar. Manakala kapasiti ruang but pula mencecah 512 liter dengan keadaan tempat duduk belakang normal.

Dengan semua elemen yang ditampilkan pada X70 ini, jika dilihat daripada segi harganya pula, ia ternyata lebih murah berbanding CR-V 1.5 TC Premium dan XV. Di mana X70 varian 1.8 TGDi Premium 2WD ditawarkan dengan harga RM123,800, berbanding RM126,788 untuk XV dan CR-V pula jauh lebih mahal dengan RM163,191. Jadi, apa pilihan anda? Adakah X70 ini mampu menjadi SUV popular di Malaysia, memandangkan sebelum ini CR-V menjadi SUV yang terbaik dalam segmennya? Apa pun, konklusinya, yang terbaik tidak semestinya popular, dan vice versa! Selamat membuat pilihan mengikut citarasa dan bajet anda!