Proton Saga Anniversary Edition dilancar – RM39,300, hanya 1,100 unit untuk sambutan ulangtahun ke-35

Proton Saga Anniversary Edition dilancar – RM39,300, hanya 1,100 unit untuk sambutan ulangtahun ke-35

Setelah pelbagai teaser dan juga cerita, akhirnya Proton Saga Anniversary Edition dilancarkan secara rasmi hari ini, 9 Julai 2020. Seperti namanya, ia dihasilkan sempena 35-tahun Saga diperkenalkan selepas unit pertama model generasi pertamanya keluar dari barisan produksi di kilang Proton Shah Alam pada 9 Julai 1985.

Model istimewa ini diasaskan dari versi tertinggi 1.3L Premium AT dan diberikan berberapa perincian istimewa yang berbeza. Dihasilkan hanya 1,100 unit, dan dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian SST RM39,300 – sama seperti harga Saga Premium AT biasa walaupun diberi berberapa perincian eksklusif.

Jadi, apa perbezaan ciri yang diterima pada Saga istimewa ini? Pertama sekali, ia hanya hadir dalam warna Quartz Black, iaitu warna yang sama pada bumbung Proton X70 Merdeka Edition yang diperkenalkan tahun lalu.

Proton Saga Anniversary Edition dilancar – RM39,300, hanya 1,100 unit untuk sambutan ulangtahun ke-35

Kemudian ia diberikan serlahan-serlahan kuning pada bahagian bawah gril penutup cermin sisi dan juga jalur pada kemasan diffuser bampar belakang. Kenapa kuning? Kan nampak macam teksi Datsun 120Y dulu? Sebenarnya kuning ini adalah simbolik kepada sayap perlumbaan Proton iaitu R3, di mana Saga adalah salah satu jentera lumba mereka yang berentap di Sepang 1000KM dan juga Malaysia Championship Series (MCS).

Bagi melengkapkan rupa luaran Saga Anniversary Edition ini, ia diberikan rim aloi 15-inci rekaan sama dengan Saga Premium AT, tetapi diberikan kemasan warna kelabu matte. Namun tiada sebarang lencana mahupun pelekat istimewa pada badan Saga ini yang memberitahu ini adalah model untuk sambutan ulangtahunnya yang ke-35.

Manakala pada bahagian dalaman, serlahan kuning yang sama diberikan pada pelaras arah liang pendingin hawa bahagian tengah, kemasan sekeliling ruang storan konsol tengah dan juga gegelang pada dua meter utama dalam panel instrumen. Saga Anniversary Edition ini juga telah dilengkapi dengan penuras udara kabin dengan standard N95 seperti yang dipadankan pada X70.

Proton Saga Anniversary Edition dilancar – RM39,300, hanya 1,100 unit untuk sambutan ulangtahun ke-35

Untuk ciri lain, kelengkapan model Anniversary Edition ini masih sama seperti model Premium AT. Ia termasuk lampu nyalaan siang LED, upholsteri dalaman fabrik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ‘terapung’ bersaiz tujuh-inci berasaskan android, paparan pelbagai info dengan skrin tanpa warna, kamera undur dan pelbagai lagi.

Sistem mekanikal juga tidak menampilkan sebarang perubahan, di mana Saga ini masih dijana oleh enjin VVT 1.3L empat-silinder menghasilkan 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional, tanpa pilihan transmisi manual.

Bagi menambahkan lagi rupa ekslusif Saga edisi terhad ini, pembeli turut boleh memilih pakej aksesori ulangtahun dengan harga promosi RM2,035 (RM2,350 selepas tamat promosi). Pakej ini terdiri dari spoiler bampar hadapan dan skirt sisi berwarna Quartz Black serta serlahan-serlahan kuning, visor pintu, penebat bunyi tambahan pada penutup bonet enjin dan juga but belakang serta tray untuk ruang kargo.

Pemilik-pemilik Saga sedia ada atau bukan dari versi istimewa ini turut boleh membeli pakej aksesori tersebut, tetapi perlu menyembur kembali kit badan berkenaan dengan warna badan kerana ia hanya datang dalam warna hitam-kuning.

GALERI: Proton Saga Anniversary Edition 2020

GALERI: Proton Saga Anniversary Edition 2020 dengan pakej aksesori

GALERI: Imej rasmi Proton Saga Anniversary Edition 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required