Bagaimana Proton Saga mendapat namanya?

Bagaimana Proton Saga mendapat namanya?

Tarikh 9 Julai 1985 merupakan tarikh keramat di mana ia adalah hari pertama kereta dari jenama automotif nasional kita iaitu Proton Saga keluar dari barisan produksi di kilangnya yang terletak di Shah Alam. Selain dari mengumumkan model istimewa Saga Anniversary Edition yang bakal dilancarkan pada 9 Julai ini, laman Facebook rasmi Proton turut mendedahkan cerita bagaimana Proton Saga mendapat namanya.

Menurut Proton, usaha untuk mencari nama sesuai bagi model pertama mereka itu sudahpun bermula pada tahun 1984 lagi dengan mengumumkan ‘Pertandingan Menamakan Kereta Nasional’ kepada orang awam. Pertandingan tersebut nyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan setelah menerima lebih dari 100,000 penyertaan.

Akhirnya, Proton memilih Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang sebagai pemenang pertandingan tersebut dengan nama ‘Saga’. Nama berkenaan dipilih oleh hakim bukan sahaja kerana ia mudah disebut, malah Sarjan Ismail turut menerangkan bahawa ia adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (Pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan).

Bagaimana Sarjan Ismail boleh terfikir akronim dan nama ‘Saga’ ini secara keseluruhan? Menurutnya, idea berkenaan muncul ketika dia dan rakan-rakannya bermain permainan ‘Scrabble’ dan ternampak empat perkataan tersebut.

Bagaimana Proton Saga mendapat namanya?

Bukan sahaja nama berkenaan berasal dari akronim yang sangat bermakna, malah ‘Saga’ turut mempunyai maksud yang begitu baik – dalam bahasa melayu ia adalah nama biji keras berwarna merah dari pokok Saga (abrus precatorius) yang banyak terdapat di Malaysia, manakala dalam bahasa inggeris pula Saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa.

Staf Sarjan Ismail Jaafar menerima sebuah Proton Saga sebagai hadiah kemenangannya itu setelah model berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 1 September 1985. Walau bagaimanapun, menurut laporan dari Astro Awani, Saga tersebut terpaksa dijual oleh Sarjan Ismail bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan.

Di mana Sarjan Ismail sekarang? Beliau sebenarnya sudahpun meninggal dunia pada 12 Januari 2018 ketika berusia 71 tahun. Sarjan Ismail sempat mengerjakan ibadah haji bersama isterinya pada tahun 2017 dan menghembuskan nafas terakhir dirumahnya sendiri yang terletak di Sungai Petani, Kedah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya. Sebelum meninggal dunia, allahyarham disahkan menghidap sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga diabetis.

Menurut balu Sarjan Ismail, Sariah Abdul Rahman, sebelum meninggal dunia juga Sarjan Ismail pernah berhasrat untuk menjejak semula Proton Saga yang diterimanya tersebut kerana amat menyayanginya. Malah anak bongsu mereka, Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) juga telah membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun sebelum itu untuk ayahnya.

GALERI: Proton Saga Megavalve

GALERI: Proton Saga FLX

GALERI: Proton Saga 1.3L Premium AT 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required