Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan livery terkini – bakal berentap di S1K 2019

Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan <em>livery</em> terkini – bakal berentap di S1K 2019

Hari ini, Proton menerusi divisi sukan permotoran Proton R3, telah memperkenalkan livery jentera lumba terbaharunya yang bakal menunjukkan taring dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini. Jika sebelum ini, model Saga, Iriz dan Suprima S yang menjadi pilihan untuk ditransformasikan sebagai jentera lumba pasukan Proton R3, untuk musim S1K kali ini, jentera Suprima S ‘direhatkan’ dan tugas tersebut diambil alih oleh Saga baharu. Ini bermakna, dua model Saga dan satu Iriz bakal dikemudi oleh barisan pelumba hadalan Proton R3 dalam S1K 2019.

Menurut Gary Lee selaku team principal bagi pasukan Proton R3, jentera Saga dengan livery atau rekaan grafik badan baharu ini akan dikendalikan oleh pelumba Admi Shahrul yang bergilir-gilir memandunya bersama Syafiq Ali. Sementara jentera Iriz R3 sedia ada pula akan dikendalikan oleh Fariqe Hairuman dan Mitchell Cheah.

Manakala Saga R3 sedia ada pula bakal dikendalikan oleh pasukan pelumba wanita Proton R3, yang turut diperkenalkan hari ini iaitu Nurul Husna Nasharuddin, Leona Chin dan juga Faye Kusairi.

Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan <em>livery</em> terkini – bakal berentap di S1K 2019

Bagi jentera Saga dengan livery baharu, rekaan tersebut telah disempurnakan oleh Azham Zainol yang memenangi tempat pertama dalam peraduan “Proton Design for Speed” yang dianjurkan oleh Proton pada Ogos lalu. Bukan sahaja rekaan livery tersebut menjadi penghias luaran badan jentera lumba Saga baharu ini, Azham turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000. Selain itu, beliau bersama pemenang di tempat kedua iaitu Xhan Wen Bin dan Muhammad Hafiz Sakarani yang memenangi tempat ketiga juga bakal menerima pas VIP ke Paddock Proton R3 pada perlumbaan tersebut, dan majlis penyampaian hadiah turut akan diadakan pada 23 November ini di SIC.

Walau pun dengan livery baharu, jentera lumba Saga tersebut masih menerima penjana kuasa dan talaan yang sama seperti mana dua jentera lumba yang lain. Menurut regulasi kategori MTC, jentera yang bertanding perlulah dibina dari kereta produksi empat tempat duduk, menggunakan enjin asal tetapi boleh diubahsuai, dengan kapasiti 1,401 cc hingga 1,600 cc, tanpa pengecas turbo.

Menurut Gary, untuk veris perlumbaan, sama seperti jentera lumba Proton R3 yang lain, Saga ini juga masih menggunakan enjin yang sama iaitu enjin S4PH Twin Cam 16 injap Proton dengan spesifikasi 1.6 liter NA. Walau bagaimana pun, untuk menyesuaipadankan dengan prestasinya bagi menggempur litar lumba, enjin berkenaan telah dirombak semula mengikut citarasa dan kepakaran Proton R3, namun ia tidak dapat didedahkan sepenuhnya. Rahsia katanya.


Namun demikian, ukuran silinder bagi enjin masih dikekalkan dimensinya dengan 76 mm bagi bore dan 88 mm untuk stroke. Selain itu, sistem ekzos, sistem kemasukan udara spesifikasi bagi aci sesondol, aci engkol telah diubahsuai. Kalau dilihat di dalam kokpit, terdapat sistem pengurusan enjin Motec M800 bersama sistem Data Logger ADL Dash 2.

Menurut Gary, kos untuk mengubahsuai enjin ini dianggarkan sekitar RM60,000 (tambah lagi RM60k untuk ubah suai bahagian transmisi), dan ‘jantung’ jentera lumba ini boleh menghasilkan kuasa lebih kurang 200 hp. Gary turut berkata, bukan mudah untuk mengekstrak kuasa tambahan dari enjin standard tanpa ‘mengusik’ kapasiti silinder dan menggunakan pengecas turbo. Justeru, pasukannya harus memerah kepala dan tenaga dalam mengolah enjin standard tersebut bagi menyesuaikannya dengan pelumbaan, dan hasilnya jumlah kuasa yang boleh dicapai adalah hampir sekali ganda berbanding model standard.

Bukan setakat itu sahaja, enjin yang diubahsuai perlu ‘dicipta’ agar mampu bertahan lama. Dalam perlumbaan S1K misalnya, kesemua kereta tersebut dihenyak dengan putaran setinggi 7,000 hingga 8,000 rpm dalam perlumbaan sejauh sekitar 1,000 km. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan, lengkap bersama LSD 1.5 hala.

Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan <em>livery</em> terkini – bakal berentap di S1K 2019

Kelengkapan lain yang turut dipadankan pada kerangka jentera lumba ini termasuk roda stereng dari Momo, tempat duduk perlumbaan Recaro TS-G lengkap dengan tali pinggang keledar 5-poin Beltnick bersama pedal box dari Willwood. Di belakang, tangki petrol asal ditukar kepada tangki perlumbaan 60 liter dari ATL yang turut hadir dengan sistem pengisian semula jenis Dry-Break.

Ia juga masih menggunakan konfigurasi suspensi yang sama seperti model-model standard – topang McPherson pada bahagian hadapan, manakala di belakang sistem torsion beam. Ia juga harus mengikut undang-undang MTC yang menetapkan bahawa konfigurasi sistem tersebut perlu kekal sama dengan versi produksi sebenar.

Namun penyerap hentak asal telah ditukar, menggunakan sistem Ohlins TTX dan geometri pada suspensi berkenaan boleh dilaras bagi disesuaikan dengan keadaan litar dan karekter yang dimahukan oleh pemandu.

Untuk sistem brek pula, jentera lumba ini menggunakan sistem perlumbaan lengkap dari Alcon menampilkan cakera 294 mm bersama angkup empat-silinder di hadapan dan cakera 295 mm dengan angkup dua omboh di belakang. Ia turut dibina dengan sistem aliran udara untuk menyejukkannya, dan pemandu boleh melaras agihan kuasa membrek antara hadapan dan belakang hanya dari dalam kabin.

Angkup dan cakera brek berkenaan berselindung di sebalik set rim asli Proton R3 dengan saiz 15-inci X 7jj. Ia dibalut dengan tayar yang diwajibkan oleh penganjur perlumbaan iaitu Yokohama Advan Neova AD08 bersaiz 195/50R15.

Kalau diikutkan rekod yang pernah dicipta oleh pasukan Proton R3 sebelum ini, jentera Iriz yang dipandu oleh Farique Hairuman bergandingan dengan Syafiq Ali pernah menjuarai S1K 2018. Malah tahun sebelum itu, jentera Suprima S R3 bernombor 82 yang dipandu oleh Admi Shahrul dan James Veerapan turut menjadi juara S1K 2017.

Jadi, adakah untuk S1K 2019 ini, kejayaan tersebut bakal berjangkit untuk pasukan Proton R3 kali ini? Dengan gandingan pelumba yang berbeza dan paling istimewa Proton R3 turut menghantar pasukan pelumba wanita untuk memberikan persaingan yang sengit buat pelumba lelaki yang lain. Tak sabar betul nak tunggu S1K 2019 hujung minggu ini!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required