Agak lama tak dengar khabar tentang pencapaian Proton dalam litar lumba. Tetapi, untuk hujung minggu lalu, lain ceritanya; jentera pasukan Proton R3 merangkul gelaran juara di dalam perlumbaan Sepang 1,000 km Endurance 2017 (S1K).

Jentera Suprima S R3 bernombor 82 yang dipandu oleh Admi Shahrul dan James Veerapan menamatkan saingan jauh di hadapan juara S1K tahun lalu, Tengku Djan Ley dan Keifli Othman. Sementara jentera Iriz R3 bernombor 81 yang dipandu oleh Syafiq Ali dan Farique Hairuman menamatkan perlumbaan ditempat kelima – selepas mengharungi 171 pusingan yang mencabar.

“Proton R3 menunjukkan kerjasama berpasukan yang sangat baik walaupun di dalam S1K tahun lalu. Proton memiliki pasukan pelumba, jurutera dan kakitangan teknikal yang sangat berdedikasi untuk pembangunan kereta R3 serta sukan permotoran, dan saya amat berbangga dengan apa yang telah mereka capai pada malam ini.

Pencapaian terbaru ini juga merupakan perkara yang manis bagi kemunculan semula kami di sukan permotoran selepas ini. Ia tentunya titik tolak yang baik bagi Proton,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Dr Li Chunrong.