Modenas memperkenalkan Elegan 250 EX facelift, yang diberikan beberapa peningkatan dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Deep Blue dan Plain Grey. Ia dijual pada harga RM17,780, menyaksikan sedikit peningkatan berbanding RM16,997 pada tahun 2023, dan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Selain dua warna baru, peningkatan lain yang dibuat pada skuter ini adalah penghadang angin hadapan gelap yang lebih sporty, lampu penunjuk arah LED, serta penggunaan logo baru Modenas pada beberapa bahagian termasuk pada meter, tempat kunci, fender belakang serta penghadang angin hadapan.
Lain daripada itu, skuter ini masih sama seperti model yang dilancarkan pada tahun 2023, bermula dengan enjin, iaitu unit satu silinder 249.1 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 4, mampu menghasilkan 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm, dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT serta sistem tali sawat.
Rim bersaiz 14 inci di hadapan, dengan tayar 120/80 dan 13 inci di belakang dengan tayar 150/70 digunakan pada Elegan 250 EX, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Kedua-dua brek hadapan dan belakang juga adalah jenis cakera dan ia dilengkapi dengan sistem ABS dual-channel.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, meter gabungan analog dan digital dengan pelbagai informasi termasuk waktu servis, lampu hadapan jenis projector, lampu belakang LED serta ruang simpanan luas di bawah tempat duduk. Berat keseluruhan Elegan 250 EX adalah 195 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
250 cc honda dengan yamaha pun dah pakai tft..scooter china lain pun sama..tapi elegan yang ni? good luck la modenas always 1 step behind