Jika sebelum ini unit prototaip Proton Saga MC3 dilihat mengenakan lampu hadapan ujian, kemudian ada juga unit yang jelas menggunakan lampu halogen, kini ada satu lagi versi prototaip muncul diuji di atas jalan raya iaitu lampu hadapannya hampir dilitupi terus dengan pelekat penyamaran.
Unit berkenaan dijumpai oleh pengguna Facebook Syafiq Ismail yang kemudiannya memuatnaik gambar tersebut di paultan.org Automotive/Car discussion Facebook group. Jadi ada kemungkinan ini adalah varian tertinggi untuk Saga MC3 kelak yang bakal menerima lampu hadapan jenis LED penuh.
Sehingga kini Saga tidak pernah hadir dengan lampu hadapan LED, berbanding saingan terdekatnya iaitu Perodua Bezza yang telah pun menerima perincian tersebut untuk semua varian termasuk varian paling asas menerusi versi facelift yang dilancarkan pada 2020.
Mungkin ramai yang masih keliru sama ada Saga baharu ini adalah model generasi baharu atau model tingkat taraf versi generasi sedia ada. Namun kami difahamkan platform AMA yang maksudkan oleh Proton sebelum ini merupakan platform yang diasaskan dari platform model-model sedia ada Proton yang dibangunkan secara tempatan, kemudian ditingkat taraf dari pelbagai aspek bagi ia terus relevan dengan standard keselamatan dan prestasi model-model terkini.
Jadi kami jangkakan ia adalah Saga baharu berdasarkan platform AMA, tetapi masih menggunakan kerangka asas badan Saga generasi sedia ada. Malah sekiranya anda melihat dengan teliti unit-unit prototaip ujian berkenaan, ia bakal menampilkan perubahan rupa yang agak ketara berbanding model sekarang.
Antara perbezaan tersebut termasuk lampu hadapan baharu, penutup bonet hadapan yang nampak lebih ‘bulat’ pada bahagian atas lampu, dan juga lampu belakang juga dengan rupa yang berbeza. Gril hadapan Saga baharu ini mungkin akan tampil dengan dua versi. Varian lebih tinggi akan menerima gril hadapan dengan rekaan signatur terbaharu pin krom yang diinspirasikan dari kain songket, manakala satu lagi versi masih menggunakan corak infinite weave sama seperti model sebelumnya.
Malah turut dapat dilihat Saga baharu ini dipadankan dengan kamera untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada cermin hadapan, membayangkan ia sekurang-kurangnya akan ada sistem amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.
Ketika dilihat diuji di Cameron Highland baru-baru ini, Saga berkenaan turut diuji bersama sebuah Perodua Myvi. Oleh itu tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely bagi menggantikkan enjin Campro yang sudah pun dihentikan pembangunannya, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.
Jadi mungkin ada perubahan besar yang akan diberikan kepada Saga baharu kelak, walaupun buat masa sekarang Saga ini masih dirujuk sebagai model ‘Minor Change’ (MC) untuk kali ketiga. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh naib CEO Proton Roslan Abdullah baru-baru ini, Saga ini mungkin akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini, iaitu selewat-lewatnya pada bulan Jun nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.