MG menyiarkan teaser sebuah SUV besar berbadan petak, dipanggil sebagai Cyber X, yang akan membuat penampilan pertama semasa Auto Shanghai 2025 minggu hadapan. Melalui tiga gambar samar bahagian depan, tepi dan belakangnya, kita dapat melihat karekter lampu yang digunakan pada SUV ini.
Di hadapan terdapat jalur LED penuh dari kiri ke kanan, logo MG bulat yang menyala, lengkuk roda lebar dengan bentuk berpetak serta bonet yang membonjol di bahagian tepi. Duduk tegap dengan badan yang berpetak, MG Cyber X ini nampak gagah seperti Land Rover Defender dan Toyota Land Cruiser.
Menurut Autocar, Cyber X dibina atas platform elektrik E3 terkini daripada SAIC yang direka untuk pelbagai jenis kenderaan dari jenis kompak hinggalah sports. Platform ini menggunakan binaan cell-to-body, di mana baterinya menjadi penyumbang kepada ketegaran badan dan mengurangkan berat.
Melihat kepada nama ‘Cyber’ yang digunakan, SUV ini mungkin bakal menjadi sebuah SUV yang terletak tinggi dalam pilihan modelnya, sama seperti Cyberster. Pada roadster itu, ia menggunakan tetapan dua motor dengan kuasa 544 PS/725 Nm, bateri 77 kWh dengan jarak gerak 444 km dan kemampuan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat.
Di Malaysia, harganya adalah RM320k, dan dalam perkembangan terkini, MG baru sahaja mempertontonkan S5 EV, yang bakal menjadi pesaing kepada Proton eMas 7 dan BYD Atto 3.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.