Setelah hampir dua bulan perkhabarannya yang bakal tiba di pasaran Malaysia, akhirnya Land Rover Defender L663 2021 generasi baharu telah pun dilancarkan secara rasminya pagi ini. Untuk pasaran Malaysia, buat setakat ini,ia menerima model Defender 110 iaitu versi lima-pintu dan jarak roda panjang. Dan model yang diperkenalkan ialah dengan konfigurasi lima-tempat duduk dan tujuh-tempat duduk.

Untuk Defender 110 pasaran Malaysia, ia diberikan dua varian enjin iaitu 2.0L Ingenium empat-silinder dan 3.0L MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) enam-silinder. Untuk enjin 2.0L, ia mampu memberikan kuasa sehingga 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.1 saat.

Manakala enjin 3.0L MHEV pula, ia menampilkan twin-scroll turbocharge dan supercharge 48-volt yang berkemampuan menghamburkan kuasa yang lebih padu sehingga 400 PS dan tork 500 Nm. dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Sekali gus membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat. Kedua-dua varian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dengan transfer-case dua-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh kedua-dua model juga sama iaitu 191 km/j.

Menurut Land Rover, model generasi baharu ini diberikan kerangka baharu dan rekabentuk badan DX7 yang dibina berasaskan struktur monokok aluminium ringan dan direka untuk bertahan dengan prosedur Extreme Event Test Land Rover yang dilakukan berulang kali, jauh melangkaui piawaian normal untuk SUV dan kereta penumpang.

Di mana reka bentuk badan Defender yang kukuh membolehkannya menunda dan membawa bebanan berat dengan rak bumbung dan sistem bar tunda dengan kapasiti tundaan seberat 3,500 kg. Malahan badannya yang ultra tegap berupaya menempuh cabaran merentasi daratan dengan bebanan maksimum bumbung statik seberat 300 kg.

Untuk generasi baharu ini, ia juga diberikan jarak kelegaan tanah (ground clearance) sehingga 291 mm. Ia turut memiliki jarak roda berukuran 3,022 mm (90 mm lebih panjang daripada Discovery), selain ituDefender 110 juga memiliki sudut breakover 28 darjah, sekaligus memberikan geometri off-road yang lebih unggul. Defender 110 ini juga memiliki keupayaan meranduk air sedalam 900 mm, diperkuatkan dengan program Wade baharu yang terdapat dalam sistem Terrain Response yang menampilkan enam mod pemanduan iaitu Normal, Mud dan Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand dan Rock Crawl.

Defender 110 ini juga dipadankan dengan suspensi udara elektronik yang turut mempunyai ciri Adaptive Dynamic bagi pemanduan yang lebih dinamik. Selain itu, sistem peredam adaptif yang turut ditampilkan bertindak memantau pergerakan badan Defender sehingga 500 kali per saat dan bertindak balas hampir serta merta untuk kawalan dan keselesaan yang optimum.

Bahagian luaran Defender 110 diberikan lampu utama Matrix LED automatik dengan lampu nyalaan siang signitur, bilah pengelap cermin automatik, lampu kabus hadapan, bumbung yang sama dengan warna badan, bumbung. panoramik gelangsar, lampu bumbung alpine, roda Style 5098 lima-jejari kemasan Gloss Sparkle Silver 20-inci dan cermin sisi larasan kuasa boleh lipat dengan auto-kelam bagi sisi pemandu. Untuk bahagian belakang pula, ia diberikan lampu LED, lampu kabus belakang, dan side-hinged tailgate.

Untuk bahagian kabinnya, varian ini menerima papan pemuka dengan palang ‘cross-car’ dalam kemasan powder coat kelabu, kabin walk-through dan juga cermin pandang belakang ClearSight. Selain itu, ia juga diberikan tempat duduk hadapan larasan kuasa 14-hala, tempat duduk kulit Ebony Windsor dengan dalaman Ebony, roda stereng dan tuil gear balutan kulit.

Selain. Ebony, pelanggan juga diberikan dua lagi pilihan warna dalaman iaitu Khaki/Ebony dan Acorn/lunar yang kedua-duanya adalah tempahan khas.

Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu dua-zon, pencahayaan kabin, konsol tengah dengan perehat tangan, sistem infotainmen Pivi Pro dengan skrin 10-inci, pek Smartphone, sistem navigasi Connected Navigation Pro, sistem bunyi 400-watt Meridian bersama 10-pembesar suara dan subwoofer, dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta menampilkan paparan head-up.

Bagi aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu, ia hadir dengan kawalan cengkaman elektronik (ETC), Kawalan kestabilan olengan (RSC), kawalan menurun bukit (HDC), brek parkir elektronik, ABS dengan EBD, bantuan titik buta,cruise control bersama pengehad kelajuan, enam-beg udara, bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik, pengenal papan tanda trafik dan juga pengehad kelajuan adaptif.

Defender 110 diberikan lima pilihan warna badan iaitu Fuji White, Santorini Black, Pangea Green, Silicon Silver dan Gondwana Stone. Defender 110 2.0L ditawarkan pada harga bermula RM798,800, manakala 110 3.0L pula berharga dari RM998,800. Setiap pembelian varian Defender 110 hadir dengan waranti lima-tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu), servis percuma selama lima-tahun/65,000 km dan Bantuan Tepi Jalan tiga-tahun.

Untuk pengetahuan, dalam pembentangan BAJET 2022, kerajaan telah mengumumkan lanjutan 100% pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50% ke atas CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022. Ini adalah bagi mengurangkan kos pemilikan kenderaan. Jadi, pembelian Defender juga layak untuk menerima potongan cukai jualan sebanyak 50%.