Tahun ini, selain ADXTG 400, satu lagi model daripada SYM yang akan tiba di Malaysia adalah Naga 150. Pada masa ini, skuter ini dikenali dengan nama kod MMBCU di Taiwan, tetapi untuk beberapa negara termasuk Malaysia, ia akan dipanggil sebagai Naga 150.
Asas untuk Naga 150 ini sebenarnya adalah sama seperti Husky 150, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 149.6 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan penyejukan cecair, mampu menghasilkan 14.2 hp pada 8,000 rpm dan 13 Nm tork pada 7,500 rpm dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT dan sistem tali sawat.
Sementara Husky 150 tampil dengan gaya adventure, Naga 150 pula membawa rupa sport/urban, dengan muka hadapan yang agresif. Ia terletak di atas jalan melalui rim bersaiz 13 inci di hadapan dan belakang, dibalut tayar masing-masing 120/70 dan 130/70, kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik dan monoshock di belakang.
Selain ABS dual-channel, skuter ini juga didatangkan secara standard dengan kawalan cengkaman untuk bahagian keselamatan. Kedua-dua brek hadapan dan belakang Naga 150 adalah unit cakera dan di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang barangan yang luas.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk semua lampu jenis LED, panel meter LCD, soket pengecas USB, cangkuk dan poket barangan kecil serta tangki bahan api 7.3 liter. Buat masa ini jangkaan harga yang dikeluarkan untuk Naga 150 adalah sekitar RM9k apabila dipasarkan di Malaysia nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.