Nio mengumumkan, EV Firefly versi pemanduan sebelah kanan akan siap pada bulan Oktober ini dan ia kemudiannya akan dipasarkan bermula di United Kingdom serta Asia Tenggara, manakala pengedar rasmi di Singapura akan disahkan minggu ini, seperti yang dilaporkan oleh CnEVPost.
Presiden dan pengasas bersama Nio, Qin Lihong berkata semasa sidang akhbar di Shanghai hari ini, Firefly akan memilih masa antara Jun ke Ogos untuk pelancaran di Eropah, dan akan berada di sekitar 20 pasaran luar menjelang akhir tahun. Pesaing kepada model EV MINI dan smart ini baru sahaja dilancarkan di China awal bulan ini dalam dua varian, pada harga masing-masing RMB119,800 (RM72k) dan RMB125,800 (RM75k).
Harga itu adalah termasuk sekali dengan bateri, tetapi tidak lama lagi pembeli boleh membeli kenderaan dan menyewa sahaja bateri melalui program battery-as-a-service (BaaS), dan sepatutnya dapat mengurangkan harga sehingga berpuluh ribu yuan – lapor CnEVPost.
Antara ciri Firefly EV ini antaranya adalah bateri yang boleh dibawa keluar (kerjasama dengan CATL), radius pusingan 4.7 meter, ruang simpanan di hadapan 92 liter, ruang simpanan belakang 1,250 liter, penarafan C-NCAP lima bintang, badan besi berkekuatan tinggi 83.4%, sembilan beg udara dan ADAS.
Rekaan unik hatchback ini adalah hasil daripada Kris Tomasson, yang sebelum ini pernah bekerja di BMW dan Ford, dengan bahagian dalamnya menggunakan konsep minimalis. Daripada aspek saiz, Firefly ini kecil sedikit berbanding BYD Dolphin, tetapi lebih besar berbanding BYD Seagull/Dolphin Surf.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.