LG Energy Solution (LGES) telah menarik diri daripada perjanjian bernilai 142 trilion Rupiah (RM36.9 bilion) yang ditandatangi bersama kerajaan Indonesia pada 2020 — dikenali sebagai Indonesia Grand Package — untuk membangunkan kilang bateri EV di negara itu, lapor Reuters.
“Mengambil kira beberapa faktor, termasuk keadaan pasaran dan persekitaran pelaburan, kami bersetuju untuk menarik diri secara rasmi daripada projek Indonesia GP. Bagaimanapun, kami bersedia untuk meneroka beberapa cabang kerjasama lain dengan kerajaan Indonesia, dengan tumpuan terhadap usaha sama bateri di Indonesia, HLI Green Power,” jelas LGES dalam satu kenyataan.
HLI Green Power, sebuah kerjasama LGES-Hyundai Motor Group, telah mula membina kilang pengeluaran sel bateri pertama Indonesia dengan kapasiti tahunan 10-gigawatt-jam, dengan perancangan untuk memperluas kapasiti berkenaan dalam pelaburan fasa kedua.
“Walaupun LG telah menarik diri, Indonesia kekal yakin yang nickel kami lebih berdaya saing berbanding negara lain,” jelas pegawai Kementerian Tenaga, Tri Winarno dengan menambah bahawa negaranya akan terus mencari rakan negara asing untuk membangunkan industri baterinya.
Indonesia Battery Corporation dan pelombong Aneka Tambang antara syarikat yang dikawal oleh negara yang berhasrat untuk menjadi rakan niaga LGES; sebelum LGES akhirnya mewujudkan usaha sama dengan CBL, sebuah anak syarikat CATL.
Berita tentang Hyundai dan LG ingin mengeluarkan bateri EV di Indonesia pertama kali muncul pada 2020, dengan kerja sama itu diumumkan pada Julai 2021 sebelum kerja-kerja pembinaan kilang bermula pada September. Pada 2022, kedua-dua syarikat Korea itu telah mendapatkan pembiayaan US$710 million (RM3.1 bilion) untuk kilang tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.