Hyundai Motor Group (HMG), bersama dengan LG Energy Solution telah memulakan pembinaan kilang sel bateri untuk kenderaan elektrik yang telah dirancangkan di Indonesia. Majlis pecah tanah kilang terbabit, yang terletak di Bandar Industri Baru Karawang, dekat Jakarta, minggu lalu.

Ini adalah susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Julai lalu antara kedua-dua syarikat dengan kerajaan Indonesia untuk menubuhkan sebuah usaha sama bagi mengeluarkan sel bateri bagi BEV di sana. Dua syarikat Korea terbabit memaklumkan mereka masing-masing akan menguasai 50% pegangan dalam usaha sama itu, dan akan melabur dengan jumlah keseluruhan USD 1.1 bilion (RM4.6 bilion) dalam operasinya.

Turut hadir dalam majlis pecah tanah itu termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Menteri Pelaburan republik itu, Bahlil Lahadalia, serta CEO usaha sama Baterry Cell, Hong Woo-pyeong serta Ketua Ibupejabat Asia-Pacific Hyundai Motor Company. Pengerusi Hyundai, Euisun Chung dan Presiden dan CEO LG Energy Solutions, Jong-hyun Kim menghadiri majlis berkenaan secara maya dari Korea.

Kilang sel bateri baru itu akan dibina di atas tanah berkeluasan 330,000 meter persegi. Pembinaan kilang dijangka siap menjelang separuh pertama 2023, dan pengeluaran massa bagi sel bateri di fasiliti itu akan bermula pada separuh pertama tahun 2024.

Jika beroperasi sepenuhnya nanti, kilang ini dijangka akan mengeluarkan keseluruhannya sel bateri lithium-ion NCMA (nickel, cobalt, manganese, aluminium) bernilai 10 GWh setahun, yang akan menepati keperluan lebih daripada 150,000 BEV. Fasiliti berkenaan akan mampu menambah kapasiti pengeluarannya hingga 30 GWh untuk memenuhi pertumbuhan keperluan BEV di masa akan datang.

Sel bateri yang dikeluarkan di Karawang akan digunakan dalam model yang memanfaatkan binaan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) HMG, termasuk untuk Hyundai Ioniq 5 serta Kia EV6. Sementara itu, kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk menawarkan beberapa insentif dan pulangan untuk menyokong operasi kilang tersebut.