Selain dari Tiggo 7 facelift PHEV, Chery turut mendedahkan ‘abang’nya yang turut dikemaskini iaitu Tiggo 8 facelift PHEV di Auto Shanghai 2025 yang bermula hari ini. SUV segmen-D tujuh-tempat duduk ini tampil dengan rupa lebih segar bersama unit rangkaian kuasa yang juga mungkin diberikan penambahbaikkan.
Berbanding dengan model yang ada di Malaysia sekarang, pada sebelah luar Tiggo 8 facelift ini nampak lebih matang dengan lampu hadapan baharu, gril dengan kerangka krom yang lebih nipis dan juga rekaan bampar yang kini menampilkan tirai udara sebenar pada kedua-dua sisi.
Pada bahagian sisi, Tiggo 8 facelift ini nampak lebih ‘bersih’ di mana pembuka pintu konvensional sudah digantikan dengan jenis tersorok ke dalam. Manakala di belakang, rekaan lampu masih lagi nampak sama, dan dibezakan hanya pada bahagian kemasan diffuser di bawah bampar, di mana tip ekzos bulat berkembar sebenar digantikan dengan perumah tip ekzos berbentuk leper.
Rupa luaran Tiggo 8 baharu ini sebenarnya masih lagi sama seperti Tiggo 8 PHEV yang pernah di bawa oleh Chery Malaysia ke beberapa acara tahun lalu.
Untuk unit rangkaian kuasa, Chery Tiggo 8 facelift PHEV ini menerima sistem Chery Super Hybrid (CSH) terbaharu bagi menggantikan sistem PHEV lama pada Tiggo 8 e+ Pro sebelum ini. Unit rangakaian kuasa CSH baharu tersebut menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5%.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri 18.3 kWj.
Gandingan tersebut membolehkan Chery Tiggo 7 PHEV ini mencapai penggunaan bahan api serendah 1.39 L/100km, dan satu tangki bahan api membolehkan ia bergerak sejauh 1,200 km. Malah dengan mod EV, SUV ini boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan.
Sekali imbas bahagian dalaman Chery Tiggo 8 facelift PHEV ini mungkin nampak sama seperti versi yang didedahkan di Malaysia tahun lalu. Namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, ada perbezaan dibuat pada konsol tengah di mana model yag dikemaskini ini menampilkan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang diletakkan secara menegak (melintang sebelum ini) membolehkan satu lagi ruang untuk meletakkan telefon pintar di sebelahnya.
Ini turut memerlukan suis putar pemilih mod pemanduan dan juga beberapa suis lain yang sebelum ini diletakkan secara melintang kini disusun menegak di sebelah pemegang cawan.
Kalau ikut perancangan awal Chery Malaysia, Tiggo 7 PHEV dan juga Tiggo 8 PHEV ini sepatutnya sudahpun dilancarkan tahun lalu di pasaran kita. Namun dengan versi yang lebih segar diperkenalkan di China ini, kedatangan kedua-dua model ini mungkin akan terus diperkenalkan dalam versi lebih segar dan teknologi lebih baik ini.
Bila ia akan tiba di Malaysia? Ini kita masih perlu tunggu pengumuman rasmi dari Chery Malaysia sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.