Ketika berlangsungnya hari pertama Auto Shanghai 2025 semalam, Chery yang kini sudahpun mempunyai banyak sub jenama seperti Jaecoo, Omoda, Jetour, iCar, Lepas, dan sebagainya melancarkan satu lagi subjenama baharu yang dikenali sebagai Himla. Jenama yang diilhamkan dari pergunungan Himalaya ini dikhususkan hanya untuk menghasilkan trak pikap sahaja, dan ia disasarkan untuk pasaran global.
Sewaktu pelancaran ini, sebuah trak pikap untuk jenama Himla itu telah ditunjukkan, namun tiada sebarang perincian berkenaan model itu didedahkan. Namun Chery ada menyebut bahawa trak pikap ini direka bagi meredah pelbagai bentuk muka bumi dan situasi, serta akan menampilkan pelbagai jenis unit rangkaian kuasa termasuk enjin petrol, diesel, dan tenaga baharu (berkemungkinan plug-in hybrid).
Dari mata kasar, trak pikap Himla ini di bina dengan saiz lebih kurang sama seperti trak pikap yang ada di Malaysia seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max dan sebagainya. Chery menyatakan bahawa Himla akan bertanding dalam trak pikap kelas premium yang diorientasikan untuk membawa penumpang.
Dari jauh trak pikap ini mungkin kelihatan Ford Ranger kerana menampilkan gril hadapan berbentuk heksagon yang agak besar. Namun sekiranya dilihat lebih teliti barulah kita perasan gril berkenaan tertulis CHERY dan bukan FORD. Lampu utama terletak pada bampar, manakala lampu di atas yang lebih nipis hanyalah lampu nyalaan siang.
Sebenarnya bukan hanya gril yang menyebabkan Himla ini nampak seperti Ranger, bahagian kepala dan juga pintunya juga mempunyai bentuk seakan Ford Ranger T6. Manakala pada bahagian belakang, Chery Nimla ini direka seakan Ford Ranger generasi terkini, termasuk mempunyai bahagian pemijak kaki sisi pada bampar belakang.
Dalam kabin pula, Himla diberikan papan pemuka yang menampilkan paparan instrument dengan skrin leper, bersama skrin infotainmen ‘terapung’ yang besar di tengah. Suis kawalan fizikal nampak masih digunakan, direka seakan kekunci piano dan terletak di bawah skrin utama.
Seperti yang kami katakan tadi masih belum ada sebarang perincian berkenaan spesifikasi trak pikap Himla ini. Apa yang pasti ia adalah model global, dan sudah tentu akan dipasarkan di negara yang meminati trak pikap seperti di Afrika Selatan, Australia dan Thailand. Sekiranya ia dijual di Thailand kelak, adakah mungkin trak pikap ini turut akan di bawa ke Malaysia? Ini kerana bikan sahaja dah berdekatan dengan Thailand, malh Malaysia juga agak meminati trak pikap, tertutamanya di bahagian Borneo.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.