iCar V23 – SUV EV dari Chery inspirasi Land Cruiser, G-Wagen & Defender, dilancar di M’sia bulan depan?

iCar V23 – SUV EV dari Chery inspirasi Land Cruiser, G-Wagen & Defender, dilancar di M’sia bulan depan?

Ketika sampai ke Auto Shanghai 2025 tempoh hari, mata penulis tertancap pada SUV comel yang mempunyai reruainya tersendiri betul-betul di hadapan reruai Chery. Penulis tertarik pada muka SUV tersebut yang kelihatan seperti Toyota Land Cruiser klasik BJ40, bahagian sisi kelihatan seperti Land Rover Defender generasi baharu, bahagian belakang seakan Mercedes-Benz G-Class, dan kesemuanya ‘dipadatkan’ pada sebuah SUV kecil!

Selepas sedikit siasatan dibuat, baru penulis menyedari bahawa SUV ini adalah keluaran jenama China yang dikenali sebagai iCar, dan ia sebenarnya merupakan satu lagi sub-jenama dari Chery dan pembangunannya dibuat bersama Zhimi Technology (juga dikenali sebagai Smartmi) iaitu anak syarikat pengeluar peralatan elektronik iaitu Xiaomi.

Dan secara spesifiknya model ini dikenali sebagai iCar V23, iaitu model kedua dari iCar (model pertama dikenali sebagai 03 yang kemudiannya dikenali sebagai Jaecoo J6) dan ia sudahpun dilancarkan di China sejak April tahun lalu. Namun ini merupakan penampilan pertama iCar di Auto Shanghai, seterusnya menjadi salam perkenalan bagi media-media antarabangsa yang hadir pada acara kali ini.

iCar V23 – SUV EV dari Chery inspirasi Land Cruiser, G-Wagen & Defender, dilancar di M’sia bulan depan?

V23 dihasilkan dengan dimensi panjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak roda sejauh 2,735 mm. Walaupun nampak kecil, iCar V23 ini sebenarnya 235 mm lebih panjang, 270 mm lebih lebar serta jarak roda 145 mm lebih jauh berbanding SUV off-road kompak popular Jepun iaitu Suzuki Jimny 5-Door.

Namun iCar V23 bukanlah model yang digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman seperti Jimny kerana ia adalah SUV elektrik penuh (EV). Ia ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD) dengan satu motor elektrik pada gandar belakang, dan juga versi pacuan semua roda (AWD) dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan.

Bagi varian RWD, motor elektrik tunggal yang dibekalkan mampu menghasilkan 136 PS dan tork maksima 180 Nm. Tiada angka pecutan 0-100 km/j ditunjuk, tetapi hanya ujian 0-50 km/j didedahkan di mana varian ini dapat mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan tersebut.

iCar V23 – SUV EV dari Chery inspirasi Land Cruiser, G-Wagen & Defender, dilancar di M’sia bulan depan?

Varian RWD ini juga hadir dengan dua pilihan bateri, sama ada bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 59.93 kWj dan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 81.76-kWj. Versi dengan bateri lebih kecil membolehkan V23 ini bergerak sejauh 401 km dalam kitaran ujian tempatan CLTC, manakala dengan bateri NMC lebih besar ia boleh bergerak sejauh 550 km CLTC.

Manakala bagi varian AWD, motor elektrik hadapan berkuasa 75 PS/112 Nm membolehkan SUV ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 211 PS/292 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.5 saat. Hanya bateri NMC 81.76 kWj diberikan pada varian ini, memberikan jarak gerak sejauh 501 km CLTC.

Kesemua varian iCar V23 ini dibekalkan dengan pengecas pantas DC yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 30 minit, dan juga sistem Vehicle-To-Load (VTL) 3.3 kW yang membolehkan bateri EV dari SUV ini menghidupkan peralatan elektrik seperti periuk nasi, mesin kopi dan sebagainya.

iCar V23 – SUV EV dari Chery inspirasi Land Cruiser, G-Wagen & Defender, dilancar di M’sia bulan depan?

Dalam pembentangan jenama ini kepada media ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025, iCar tidak segan silu menyatakan bahawa rekaan V23 ini sememangnya diinspirasikan dari Toyota Land Cruiser, Mercedes G-Wagen dan Land Rover Defender.

Rekaan bukan hanya untuk faktor estika di mana bentuk muka Land Cruiser dan belakang G-Wagen yang mengenakan bampar yang pendek dan singkat membolehkan V23 ini memanjat batu menerusi sudut approach 42 darjah dan sudut berlepas 40 darjah. Jarak kelegaan tanah SUV ini diumumkan pada 200 mm, membolehkan ia meredah laluan air dengan kedalaman 600 mm.

iCar juga turut mempamerkan V23 dalam pelbagai versi ubahsuai, antaranya dengan penampilan lebih klasik, lebih lasak, malah ada juga varian trak pikap. Dan yang menariknya, aksesori-aksesori ini turut ditunjuk di mana ia boleh dipadankan dengan mudah.

Imej lasak turut dibawa ke kabin V23 ini. Ia diberikan papan pemuka ringkas dengan hanya satu skrin besar 15.4-inci diletakkan di tengah untuk paparan instrumen dan infotainmen. Sementara suis-suis kawalan termasuk penukar mod pemanduan direka dengan saiz besar untuk memudahkan operasi dan capaian.

Namun ia tidak ketinggalan dalam penawaran sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan dibekalkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan pelbagai lagi. Di China, iCar V23 dijual pada harga bermula 109,800 yuan hingga 149,800 yuan (sekitar RM66k hingga RM90k).

Berita baik, dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan iCar bakal membuat kemunculan sulungnya di Malaysia menerusi acara Malaysia Autoshow (MAS) 2025 yang akan berlangsung bulan hadapan. Namun masih belum diketahui sama ada iCar (atau turut dikenali sebagai iCaur di pasaran tertentu termasuk Malaysia kelak) akan membawa model 03/J6 sahaja atau termasuk sekali V23.

“Selepas penampilan sulung globalnya di Shanghai Motor Show 2023, iCaur kini sedang bersiap untuk membuat pelancaran di Malaysia Autoshow 2025 dengan prebiu komprehensif barisan model EV yang bertenaga,” tulis kenyataan berkenaan. Malaysia merupakan salah satu negara yang akan diteroka oleh iCaur dalam masa tiga tahun akan datang, dengan rancangan bagi mewujudkan lebih dari 2,000 pusat servis dan jualan di seluruh dunia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required