iCaur V23 sah ke Malaysia; bakal buat kemunculan sulung pada pelancaran jenama minggu depan

iCaur V23 sah ke Malaysia; bakal buat kemunculan sulung pada pelancaran jenama minggu depan

Sub-jenama Chery yang menawarkan kenderaan gaya hidup iaitu iCaur mengesahkan bahawa SUV EV yang direka dengan gandingan model-model retro yang ikonik digelar sebagai iCaur V23 sah bakal diperkenalkan di Malaysia. Perkara ini disahkan oleh iCaur Malaysia menerusi laman instagram mereka bahawa V23 bersama satu lagi SUV jenama berkenaan iaitu iCaur 03 akan dibawa ke Malaysia Autoshow 2025 bermula 9 Mei ini di MAEPS bagi perasmian kemasukan jenama itu ke pasaran tempatan.

iCaur (atau dikenali sebagai iCar di China) telah memperkenalkan V23 di pasaran negara berkenaan pada April tahun lalu, tetapi pengenalannya untuk peringkat global hanya di buat ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 pada bulan lalu.

V23 dihasilkan dengan dimensi panjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak roda sejauh 2,735 mm. Walaupun nampak kecil, iCar V23 ini sebenarnya 235 mm lebih panjang, 270 mm lebih lebar serta jarak roda 145 mm lebih jauh berbanding SUV off-road kompak popular Jepun iaitu Suzuki Jimny 5-Door.

Namun iCaur V23 bukanlah model yang digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman seperti Jimny kerana ia adalah SUV elektrik penuh (EV). Di China, ia ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD) dengan satu motor elektrik pada gandar belakang, dan juga versi pacuan semua roda (AWD) dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan.

Bagi varian RWD, motor elektrik tunggal yang dibekalkan mampu menghasilkan 136 PS dan tork maksima 180 Nm. Tiada angka pecutan 0-100 km/j ditunjuk, tetapi hanya ujian 0-50 km/j didedahkan di mana varian ini dapat mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan tersebut.

Varian RWD ini juga hadir dengan dua pilihan bateri, sama ada bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 59.93 kWj dan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 81.76-kWj. Versi dengan bateri lebih kecil membolehkan V23 ini bergerak sejauh 401 km dalam kitaran ujian tempatan CLTC, manakala dengan bateri NMC lebih besar ia boleh bergerak sejauh 550 km CLTC.

iCaur V23 sah ke Malaysia; bakal buat kemunculan sulung pada pelancaran jenama minggu depan

Manakala bagi varian AWD, motor elektrik hadapan berkuasa 75 PS/112 Nm membolehkan SUV ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 211 PS/292 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.5 saat. Hanya bateri NMC 81.76 kWj diberikan pada varian ini, memberikan jarak gerak sejauh 501 km CLTC.

Kesemua varian iCar V23 ini dibekalkan dengan pengecas pantas DC yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 30 minit, dan juga sistem Vehicle-To-Load (VTL) 3.3 kW yang membolehkan bateri EV dari SUV ini menghidupkan peralatan elektrik seperti periuk nasi, mesin kopi dan sebagainya.

Dalam pembentangan jenama ini kepada media ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025, iCaur tidak segan silu menyatakan bahawa rekaan V23 ini sememangnya diinspirasikan dengan muka depan dari Toyota Land Cruiser, bahagian belakang seperti Mercedes G-Wagen dan bahagian sisi menyerupai Land Rover Defender.

Rekaan bukan hanya untuk faktor estika di mana bentuk muka Land Cruiser dan belakang G-Wagen yang mengenakan bampar yang pendek dan singkat membolehkan V23 ini memanjat batu menerusi sudut approach 42 darjah dan sudut berlepas 40 darjah. Jarak kelegaan tanah SUV ini diumumkan pada 200 mm, membolehkan ia meredah laluan air dengan kedalaman 600 mm.

Imej lasak turut dibawa ke kabin V23 ini. Ia diberikan papan pemuka ringkas dengan hanya satu skrin besar 15.4-inci diletakkan di tengah untuk paparan instrumen dan infotainmen. Sementara suis-suis kawalan termasuk penukar mod pemanduan direka dengan saiz besar untuk memudahkan operasi dan capaian.

Namun ia tidak ketinggalan dalam penawaran sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan dibekalkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan pelbagai lagi.

Di China, iCaur V23 dijual pada harga bermula 109,800 yuan hingga 149,800 yuan (sekitar RM66k hingga RM90k). Agaknya berapa pula harga SUV ini setelah tiba di Malaysia kelak ya?

GALERI: iCaur V23 di Auto Shanghai 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required