Kalau anda rasa siri kejohanan one make Vios Challenge ‘kurang laju’, tak lama lagi ada satu lagi kejohanan serupa yang menggunakan jentera dari Toyota – ini dia Kejohanan ‘one make’ GR86 Cup secara rasmi sudahpun diumumkan untuk dianjurkan di Malaysia!
Kejohanan ini bukan dianjurkan oleh UMW Toyota seperti Vios Challenge, tetapi dikelolakan oleh Haro Sports & Entertainment, iaitu pemegang hak dan promoter perlumbaan Autobacs Super GT pusingan Malaysia yang bakal diadakan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang bermula 26 hingga 28 Jun 2025.
Jadi pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang pada 26 Jun nanti, dan ia akan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.
Sama seperti kebanyakkan perlumbaan one-make yang memerlukan perserta membeli jentera lumba melalui penganjur, anda yang berminat untuk berlumba dalam GR86 Cup Malaysia ini perlu mendapatkan kereta lumba masing-masing menerusi Haro Sports & Entertainment.
Untuk itu, Haro akan membawa 30-unit jentera lumba Toyota GR86 Cup Car Basic baharu dari Jepun dan dijual pada harga sedikit lebih rendah dari di bilik pameran iaitu RM208,315 lengkap dengan cukai jualan. Ini kerana kesemua jentera tersebut dibawa masuk menggunakan AP sukan permotoran (motorsport AP), di mana ia hanya boleh digunakan dalam perlumbaan sahaja, dan tidak sah untuk digunakan atas jalan raya.
Jentera lumba Toyota GR86 Cup Car Basic ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model jalan raya biasa, menggandingkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm, bersama kotak gear enam-kelajuan manual bagi memacu roda belakang.
Namun ia menerima beberapa sentuhan prestasi seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD.
Untuk perlumbaan di Malaysia ini rim besi asal GR86 Cup Basic tersebut akan digantikan dengan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj. Ia dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.
Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.
Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.
Secara keseluruhan berat kereta lumba Toyota GR 86 Cup Car ini ditimbang sekitar 1,290 kg. Spesifikasi pada kereta lumba ini juga telah memenuhi undang-undang kelas SP1 dalam siri perlumbaan Malaysia Championship Series 2025, membolehkan ia menyertai banyak lagi perlumbaan tempatan selain GR 86 Cup.
“Direka sebagai siri perlumbaan yang sangat kompetitif namun masih mampu milik, Siri GR86 Cup Malaysia ini menyediakan platform kepada peminat untuk berlumba dengan jentera lebih berkuasa dan dinamik tetapi masih mengekalkan kepentingan kemampuan prestasi yang sama di mana kelebihan akan terletak lebih pada kemahiran pemanduan sebenar,” kata rakan kongsi pengurusan Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.