Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

Selain dari GR Corolla dan GR Supra dalam versi kotak gear manual, ini satu lagi model penuh GR yang mendarat secara rasmi pada pasaran Malaysia menerusi acara yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang malam ini – Ini dia, model generasi baharu Toyota 86 iaitu Toyota GR 86!

Model ini secara rasminya telah didedahkan di Jepun pada April 2021. Ia sebelum ini dirancang untuk dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu, tetapi akhirnya ditunda hingga tahun ini. Secara rasmi, model generasi baharu Hachiroku ini dijual di Malaysia pada harga atas jalan tanpa insuran RM295,000 untuk varian manual dan RM305,000 untuk varian automatik.

Sama seperti Toyota 86 generasi sebelumnya, GR 86 masih dibangunkan bersama Subaru BRZ generasi baharu – kembarnya tersebut muncul lebih awal iaitu pada November 2020, kemudian sudahpun dilihat di bilik pameran Subaru Setia Alam sejak November tahun lalu.

Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

Dari segi rekaan, GR 86 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan BRZ termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan – GR 86 menerima rekaan “Gril Matrix” serta diapit dengan liang udara sisi bersama kemasan hitam berbentuk-L.

Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan BRZ.

Subaru BRZ dan Toyota GR 86 ini diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

Dimensi untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya, dengan GR 86 diukur mempunyai 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang.

Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 (dan Subaru BRZ) dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 237 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini. Model dengan kotak gear auto pula memerlukan 6.8 saat untuk pecutan sama.

Oleh sebab itu, Toyota GR 86 ini tidak lagi diberikan tayar ‘eco’ seperti model generasi sebelumnya untuk memudahkan ia membuat aksi drift, sebaliknya sudah menerima tayar prestasi sebenar Michelin Pilot Sport bersaiz 215/40R18.

Sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control pada GR 86 ini diintegrasikan bersama mod-mod pemanduan yang disediakan sama ada untuk pemanduan jalan raya atau litar. Sebanyak lima kombinasi berbeza antara VSC dan TRC, dengan talaan dari bantuan sepenuhnya sehingga tanpa sebarang bantuan (untuk pemandu lebih berpengalaman).

Mod Track juga disediakan yang direka dengan bantuan pelumba-pelumba profesional Toyota Gazoo Racing, yang memberikan data penting masa sebenar ketika pemanduan dalam litar.

Bahagian dalaman GR 86 ini juga nampak seiras dengan Subaru BRZ generasi baharu. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Toyota dan lencana GR pada roda stereng.

Model dengan kotak gear auto turut menerima pedal penukar gear di belakang roda stereng. Model pasaran Malaysia ini juga datang standard dengan perincian seperti upholsteri gabungan kulit premium dan sued dan tempat duduk pemandu larasan manual enam-hala dan sistem pendingin hawa dua zon.

Untuk sistem infotaimen pun, GR 86 pasaran Malaysia ini menampilkan skrin sesentuh lapan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, dihubungkan kepada enam pembesar suara. Manakala pemandu menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT LCD berwarna tujuh-inci.

Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

Untuk keselamatan, Toyota GR 86 ini menerima tujuh-beg udara bersama sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari amaran pra pelanggaran hadapan, amaran keluar laluan, brek undur automatik, pemantau titik buta dan lampu hadapan adaptif dan lampu tinggi automatik. Untuk model dengan kotak gear automatik, ia turut datang dengan sistem cruise control adaptif.

Toyota GR 86 ini datang dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan sama seperti model-model biasa Toyota yang lain. Namun untuk membeli GR 86 ini atau mana-mana model dengan logo GR lain, anda perlu datang ke pengedar yang mempunyai outlet GR Garage. Setakat ini hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

GR Garage diperkenalkan buat pertama kali di sini pada 2019 serentak dengan pelancaran GR Supra ke pasaran tempatan, dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan GR Garage di luar Jepun. Anda bukan sahaja boleh membeli model-model GR, peralatan prestasi GR dan juga cenderamata GR, malah GR Garage turut menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang berminat untuk membeli kereta untuk tujuan perlumbaan dan akan diberikan sekali sokongan dan bantuan servis selepas jualan.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required