Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan bahawa mereka bakal melancarkan beberapa model prestasi penuh GR dan juga GR-Sport baharu ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Model mana yang bakal dilancarkan belum diumumkan dengan jelas, namun untuk model GR penuh, sudah tentu ia merujuk kepada Toyota GR 86.

Ini kerana buat masa sekarang Toyota hanya ada tiga model GR penuh untuk pasaran global – GR Supra dan GR Yaris sudah pun berada di Malaysia, cuma tinggal GR 86 sahaja belum mendarat di sini. GR 86, iaitu model generasi kedua selepas Toyota 86 ZN6 sebelumnya, telah pun didedahkan di Jepun pada April tahun lalu, dan mula dijual di sana pada Oktober 2021.

Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA dengan kapasiti lebih besar. Ia dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Ini membolehkan GR 86 dalam versi manual mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota GT86 generasi sebelum ini dan mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Model automatik pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 216 km/j.

Manakala untuk model GR-Sport, masih lagi belum jelas model ‘biasa’ mana yang akan dijelmakan untuk versi lebih sporty tersebut. Buat masa sekarang, UMWT telah pun menghasilkan Vios GR Sport di fasiliti mereka di Bukit Raja, Shah Alam. Berbanding Vios biasa, Vios GR-Sport tersebut bukan sahaja diberikan kit badan dan kemasan dalaman yang lebih garang, malah ia turut diberikan talaan semula terhadap kotak gear CVT yang memberikan 10-kelajuan maya, talaan suspensi lebih sporty, bersama rim 17-inci yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes TR1.

Untuk rekod, Toyota telah pun memperkenalkan model Corolla Altis GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dan juga Hilux GR-Sport di pasaran Thailand – mungkin sebahagian model-model tersebut turut akan dilancarkan di Malaysia? Tak mustahil juga UMWT mungkin akan memperkenalkan Yaris GR-Sport memandangkan hatchback tersebut berkongsi banyak komponen dengan kembar sedannya iaitu Vios.

Selain dari memperkenalkan model-model baharu, UMWT turut akan mengadakan klinik pemanduan, pengalaman dan aktiviti Gazoo Racing untuk pemilik-pemilik model GR dan GR-Sport. Ia dibuat bagi membekalkan pemilik-pemilik berkenaan dengan pengalaman dan kemahiran yang diperlukan bagi tujuan keselamatan serta dapat menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada kereta mereka.

UMWT juga akan meluaskan lagi jaringan GR Garage di pengedar-pengedar Toyota seluruh negara. Ini termasuk untuk memperkenalkan lebih banyak peralatan prestasi aftermarket jenama GR yang dijual di GR Garage serta barangan-barangan GR lain.

Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

Syarikat tersebut turut mengumumkan bahawa Tengku Djan Ley akan terus menjadi duta rasmi bagi GR Malaysia. Pelumba yang terkenal dengan gelaran “The Prince of Drift” berkenaan bukan sahaja berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan untuk kategori Super Sporting dalam siri perlumbaan Vios Challenge di Malaysia, malah beliau turut membantu dalam pembangunan model Vios GR-Sport.

“Saya mahu rakamkan keterujaan dan komitmen saya untuk melakar jalan kehadapan bagi Gazoo Racing untuk terus membuat sumbangan yang berkesan dan bernilai kepada Malaysia – dalam penyertaan kami dalam sukan bermotor dan pembangunan bakat-bakat baharu, menerusi lebih banyak pengalaman GR dan melalui titik sentuh kenderaan GR kami, pemasangn model-model GR-Sport di Malaysia, pengembangan jaringan GR Garage dan penawaran komponen berprestasi serta barangan untuk pelanggan Toyota dan GR,” kata Takashi Obata, naib pengerusi UMW Toyota Motor.

Obata baru sahaja memegang jawatan berkenaan pada bulan lalu, menggantikan Akio Takeyama yang juga ketua pegawai sukan permotoran UMW Toyota serta sempat berlumba dalam siri Vios Challenge Malaysia selama empat musim. Beliau kini kembali ke Jepun untuk berkhidmat dengan Toyota Motor Corporation dengan menggalas tanggungjawab baharu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required