Toyota Motor Thailand telah memperkenalkan versi terbaru Corolla Altis GR Sport, yang telah menerima rekaan semula dan kini lebih mirip model di pasaran Taiwan — dalam pendekatan yang sama dengan Corolla Cross GR Sport. Lebih menarik, varian dengan penampilan agresif ini juga ditawarkan dalam versi hibrid serta dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense sebagai standard.

Luarannya, bodykit biasa telah digantikan dengan bampar baru dengan gril lebih lebar, serta bukaan menegak hiasan di bucunya dan jalur hitam berkilat yang memberikan kesan penampilan lebih lebar. Skirting sisi yang lebih menawan serta skirting belakang yang lebih ringkas dengan rekaan diffuser bersepadu turut dihadirkan. Rim 17-inci biasa pula datang dalam dua tona warna.

Di dalam, penampilan GR Sport kekal sama seperti sebelum ini, dengan kemasan merah pada pemegang pintu dan kerusi balutan kulit, serta jahitan merah dan cetak-timbul GR pada perehat kepala. Butang penghidup enjin GR, head-up display baru serta penghadang matahari manual untuk cermin belakang telah ditambah, manakala paparan instrumen digital tujuh-inci pada model hibrid kini ditawarkan secara standard bagi semua Corolla ALtis, kecuali varian asas 1.6G.

Sama seperti model di Taiwan, pasaran Thailand juga datang dengan suspensi yang dipertingkatkan terdiri daripada gegelung, penyerap hentak dan palang anti-olengan baru yang lebih tegap. Dari sudut keselamatan, kedua-dua varian petrol dan hybrid GR Sport datang dengan ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan membetulkan lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi automatik.

Varian petrol terus menggunakan unit enjin 2ZR-FXE 1.8 liter NA Dual VVT-i empat-silinder, menghasilkan 140 PS pada 6,000 rpm dan 177 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi CVT dengan tujuh nisbah maya dan paddle shifter di sterengnya.

Baru untuk GR Sport ialah sistem janaan kuasa hibrid yang menggabungkan enjin sama dengan kitaran Atkinson (menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm) dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm dan bateri nickel-metal hydrate untuk memberikan output keseluruhan 122 PS. Toyota mendakwa penggunaan minyak model ini pada kadar 23.3 km per liter.

GR Sport Hybrid ini menggantikan varian paling tinggi Corolla Altis sebelum ini, HV Premium Safety, dan dijual pada harga 1,114,000 baht (RM141,100). Varian 1.8 GR Sport pula lebih mahal
60,000 baht (RM7,600) dan kini dijual pada harga 1,059,000 baht (RM134,100).