Selepas lebih dua tahun berada semula di Afrika Selatan, laporan dari portal Cars.co.za menyatakan masa depan Proton di pasaran berkenaan kini tidak menentu kerana jualan yang kurang memberangsangkan akibat harga yang tidak kompetitif.
Portal berkenaan memetik laporan tahunan bersepadu 2025 pengedar Proton di Afrika Selatan iaitu Combined Motor Holdings (CMH) Group yang menyatakan operasi mengimport dan mengedar kenderaan dari Malaysia berkenaan kini “terus mencabar dan menelan kos yang tinggi”.
“Inventori sedia ada akan habis dijual pada separa pertama tahun [kewangan] akan datang, dan selepas itu Kumpulan dan pengeluar dari Malaysia berkenaan akan memutuskan apa yang perlu dibuat pada masa hadapan,” kata CEO Kumpulan CMH Jebb McIntosh dalam laporan itu.
Dalam pembentangan laporan kewangan berkaitan syarikat itu untuk 2025, CMH Group menyatakan jumlah stok Proton dalam inventori kini adalah sedikit dan dijangka akan habis dijual pada penghujung Ogos 2025.
CMH Group menyatakan produk bukan masalah untuk kemelut ini kerana model-model Proton diterima baik oleh pengguna tempatan serta jumlah tuntutan waranti yang dicatatkan juga rendah, tetapi harga yang ditawarkan “agak bermasalah”.
Proton kini menjual empat model di Afrika Selatan iaitu sedan Saga, dan tiga SUV termasuk X50, X70 dan X90. Model paling mampu milik sudah tentulah Saga dijual pada harga bermula R209,900 (sekitar RM49k) untuk varian 1.3 Standard MT sehingga R244,900 (sekitar RM57k).
Buat masa sekarang Proton mempunyai 17 pengedar bertauliah di Afrika Selatan. Laporan portal ini turut menyebut bahawa Proton hanya menjual 888 unit kenderaan sepanjang 2024, atau secara purata hanya 74 unit sebulan. Manakala untuk suku pertama 2025 Proton telah menjual sebanyak 226 unit kenderaan di sana atau secara purata 56 unit sebulan.
Dalam perkembangan berkaitan, sekutu Proton iaitu Geely bakal masuk semula ke pasaran Afrika Selatan, dan perkara ini telah disahkan oleh CEO Geely Auto, Jerry Gan Mac lalu. Geely dikesan sudahpun mendaftar nama untuk kembar Proton eMas 7 iaitu Geely E5 dan EX5.
Sama seperti Proton, Geely sebelum ini pernah bertapak di Afrika Selatan dan kemudian ‘gulung tikar’ di pasaran pemanduan sebelah kanan tersebut sekitar 10-tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.