Selepas melancarkan dua SUV – X70 dan X50 – tahun lalu, Proton kini mula menjual sedan mampu miliknya iaitu Saga ke pasaran Afrika Selatan. Model berkenaan di bawa dalam tiga varian, dan menurut laporan Top Auto, Saga kini merupakan sedan model kedua paling murah dalam segmennya di pasaran berkenaan.
Model paling asas untuk pasaran Afrika Selatan ini iaitu Standard MT dijual pada harga R199,900 (RM49k), diikuti varian Standard Auto berharga R219,900 (RM54k). Manakala varian tertinggi hanya datang dalam versi transmisi automatik iaitu Premium Auto, dijual pada harga R239,900 (RM59k).
Bagi model Standard MT dan Standard Auto, ia hadir dengan perincian seperti paparan pelbagai info pada papan instrumen, tempat duduk fabrik, penghawa dingin manual, penderia undur, radio asas dengan hubungan Bluetooth dan juga dua pembesar suara. Dari segi keselamatan pula, kedua-dua varian ini diberikan sistem brek ABS dan juga dua beg udara.
Manakala pembeli varian Standard dengan kotak gear automatik, ia menerima perincian tambahan seperti rim aloi 14-inci (hanya rim besi dengan penutup plastik pada Standard MT), Bantuan Mula Mendaki, sistem kestabilan elektronik dan juga Traction Control.
Bagi model tertinggi Premium pula, ia datang dengan kelengkapan termasuk rim aloi 15-inci kemasan dua tona, lampu nyalaan siang LED, butang pelbagai fungsi pada roda stereng, skrin sesentuh 7-inci dengan empat pembesar suara, penderia parkir hadapan dan juga kamera undur.
Sama dengan model pasaran Malaysia, kesemua varian Saga pasaran Afrika Selatan ini dijana oleh enjin VVT 1.3 liter berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, dan versi Auto pula datang dengan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT.
Lima warna badan ditawarkan pada Saga pasaran Afrika Selatan ini iaitu Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red. Ia diberikan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, dan kini sudah boleh ditempah di kesemua 25 pengedar Proton seluruh Afrika Selatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.