Selain dari Tiggo Cross dan juga Tiggo 7 facelift PHEV, Chery Malaysia hari ini turut mempamerkan sekali SUV segmen-D tujuh tempat duduk Tiggo 8 yang dikemaskini di Malaysia Autoshow (MAS) 2025. Model ini bukan hanya tampil dengan rupa baharu, malah ia turut menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) generasi baharu dari siri Chery Super Hybrid yang baru dilancarkan untuk peringkat global di Auto Shanghai 2025 bulan lalu.
Tiggo 8 PHEV ini menggunakan unit rangkaian kuasa PHEV Chery Super Hybrid (CSH) generasi baharu yang sama seperti pada ‘adiknya’ iaitu Tiggo 7 PHEV CSH. Sistem tersebut menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5% dan mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm.
Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Berdasarkan spesifikasi yang ditunjuk oleh Chery Malaysia hari ini, Tiggo 7 PHEV pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.
Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC (tidak dinyatakan kapasiti) di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut.
Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 8 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.
Berbanding dengan model yang ada di Malaysia sekarang, pada sebelah luar Tiggo 8 facelift ini nampak lebih matang dengan lampu hadapan baharu, gril dengan kerangka krom yang lebih nipis dan juga rekaan bampar yang kini menampilkan tirai udara sebenar pada kedua-dua sisi.
Pada bahagian sisi, Tiggo 8 facelift ini nampak lebih ‘bersih’ di mana pembuka pintu konvensional sudah digantikan dengan jenis tersorok ke dalam. Manakala di belakang, rekaan lampu masih lagi nampak sama, dan dibezakan hanya pada bahagian kemasan diffuser di bawah bampar, di mana tip ekzos bulat berkembar sebenar digantikan dengan perumah tip ekzos berbentuk leper.
Pada bahagian dalaman, sekali imbas bahagian dalaman Chery Tiggo 8 PHEV ini mungkin nampak sama seperti Tiggo 8 Pro e+ yang pernah didedahkan di Malaysia tahun lalu. Namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, ada perbezaan dibuat pada konsol tengah di mana model yang dikemaskini ini menampilkan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang diletakkan secara menegak (melintang sebelum ini) membolehkan satu lagi ruang untuk meletakkan telefon pintar di sebelahnya.
Ini turut memerlukan suis putar pemilih mod pemanduan dan juga beberapa suis lain yang sebelum ini diletakkan secara melintang kini disusun menegak di sebelah pemegang cawan. Model sebenar pasaran Malaysia ini juga nampaknya mengenakan upholsteri hitam dengan pelapik bumbung berwarna kelabu yang lebih sesuai untuk pasaran tempatan.
Buat masa sekarang Chery Malaysia belum lagi mengumumkan secara spesifik kelengkapan yang dibekalkan untuk Tiggo 8 PHEV pasaran Malaysia ini dan juga harga anggarannya. Walau bagaimanapun model ini telah disahkan akan dilancarkan pada separa kedua tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.