Sebelum motosikal jenama Moda melancarkan model pertama mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Sporter S, sebenarnya sebuah lagi model telah ditunjukkan lebih awal kepada orang ramai pada tahun 2023. Ia adalah Shifter 400X, dan tahun ini sekali lagi ia membuat penampilan di Malaysia Autoshow 2025.
Maklumat terkini yang kami terima, Shifter 400X ini dalam perancangan untuk pelancaran pada hujung tahun ini, dengan pihak Moda sedang membuat penyesuaian terhadap skuter tersebut, sama seperti Sporter S. Ini bermakna, kita boleh menjangkakan pelarasan semula bahagian seperti suspensi dan penyampaian kuasa.
Shifter 400X adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder 333 cc SOHC penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa maksimum 29 hp pada 7,000 rpm dan tork 33.5 Nm pada 5,500 rpm. Transmisi menggunakan unit automatik CVT dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.
Bahagian roda skuter ini menggunakan rim 14 inci di hadapan, dibalut tayar 120/70 manakala di belakang menggunakan rim 13 inci dengan tayar 150/70. Ia kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang.
Brek di kedua-dua roda menggunakan unit cakera dan sistem ABS dual-channel diberikan secara standard. Menambah lagi keselamatannya adalah sistek kawalan cengkaman (boleh ditutup dengan butang di bahagian kanan pemegang).
Kelengkapan lain Shifter 400X adalah termasuk tangki bahan api 13.1 liter, meter TFT, soket pengecas USB, sistem tanpa kunci, ruang barangan di bawah tempat duduk dengan dua poket di bahagian bawah pemegang serta penghadang angin larasan manual.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.