Baru-baru ini masa depan sayap perlumbaan dan prestasi Proton iaitu Race.Rally.Research (R3) dikhabarkan tidak menentu, dan ia mungkin akan dijual oleh pembuat kereta nasional berkenaan. Ini memang perkembangan menyedihkan, namun ia tidak menghalang pemilik Proton Satria R3 untuk berkumpul hujung minggu lalu bagi meraikan ulangtahun ke-20 hot-hatch lagenda berkenaan.
Satria R3 merupakan model lengkap pertama yang dihasilkan oleh Proton R3, membuktikan bahawa mereka bukan sahaja hebat sebagai pasukan lumba dan menjana keuntungan sebagai pengeluar peralatan prestasi aftermarket untuk Proton, malah berkemampuan untuk menghasilkan jentera prestasi dengan pengetahuan diperolehi dari litar yang boleh dibeli di bilik pameran serta sah digunakan di atas jalan raya.
Sejumlah 10-unit Satria R3 berjaya dihimpunkan pada acara kali ini yang berlangsung di Putrajaya. Menurut Devan Gunaseelan, pemilik Satria R3 dari Ipoh yang menghimpunkan komuniti pemilik berkenaan, dari 150-unit yang keluar dari fasiliti R3 pada penghujung 2005 dan awal 2005 dahulu kini dia berjaya berhubung dengan kira-kira lebih 50 pemilik Satria R3 yang masih wujud.
Manakala 10-unit yang hadir kali datang dengan pelbagai ‘karekter’ yang diberikan oleh pemilik masing-masing; ada yang masih standard seperti baru keluar kilang, ada yang telah diubahsuai untuk prestasi lebih berkuasa, malah ada juga yang telah menjadi sebuah kereta lumba sebenar. Namun semuanya masih mengekalkan warna hitam asal dengan jalur sisi merah yang dikenali sebagai ‘blood stripe’ untuk dikenali sebagai Satria R3 sebenar.
Acara kali ini juga agak istimewa kerana ia dihadiri oleh beberapa ahli pasukan R3 antaranya bekas eksekutif pembangunan produk Proton R3 yang juga ketua projek pembangunan Satria R3 ini sendiri iaitu Faisal Asri, pelumba serta pakar pembangunan suspensi yang kini pemilik jenama suspensi Fawster iaitu Faidzil Alang, bekas prinsipal pasukan lumba R3 Gary Lee, pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) yang pernah bertugas sebagai ketua projek Satria Neo R3 Lotus Racing Suriya Sankaran dan jurutera kos BOM Fadhlan Zahari.
Jadi pertemuan ini memberikan peluang untuk pemilik-pemilik Satria R3 berkenaan mengetahui lebih mendalam berkenaan jentera masing-masing dengan mendengar sendiri cerita bagaimana model tersebut dibangunkan termasuklah bagaimana kerangka Satria ini dipasang dengan proses cantuman dua kali lebih banyak dari kerangka Satria GTi, mengapa warna hitam dipilih sebagai warna badan dan kenapa ia digelar Incognito Black, bagaimana talaan suspensi dibuat dan ujian yang lakukan dan banyak lagi.
Bagi mereka yang belum mengetahui, Satria R3 ini merupakan versi ‘Type R’ untuk Satria di mana kerangka badannya bukan sahaja lebih tegar, malah ia juga lebih ringan tanpa sebarang bahan penebat bunyi diberikan, membolehkan berat keseluruhan ditimbang hanya 995kg.
Ia kemudiannya disumbat dengan enjin 4G93P 1.8 liter yang tala semula bagi menghasilkan kuasa 140 hp dan tork maksima 148 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dibuat dalam masa 8.6 saat. Ia juga menerima pelbagai perincian yang mengujakan seperti tempat duduk bucket Recaro SR4, roda stereng Momo Tuner, spoiler belakang gentian karbon dan banyak lagi. Untuk lebih mengetahui berkenaan Proton Satria R3 anda boleh baca pada PAUTAN INI.
Proton Satria R3 dan juga beberapa model penuh R3 yang lain telah membuktikan kemampuan R3 – ia bukan hanya menjadi platform untuk peminat Proton bersorak di litar lumba dan SS rali di Malaysia serta peringkat antarabangsa, malah turut mampu untuk menjana keuntungan dengan pelbagai cara menerusi sukan bermotor dan juga budaya berkereta pemilik-pemiliknya.
Platform dah ada, peminat juga dah lama tertunggu-tunggu. Tapi bila Proton dah mula bangkit semula dengan jualan yang memberangsangkan, jenama R3 seakan tidak penting. Mungkin Proton akan mula menjadi jenama yang bosan dan kehilangan ‘Fanboys’ sekiranya R3 benar-benar dijual selepas ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.