Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Melaka yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYA dibuka bidaan mulai esok, 16 Mei 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 20 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Mei 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Melaka, MEC, akan dibuka bidaan bermula 23 Mei 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 27 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 28 Mei 2025.
Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.