Selain dari mengumumkan bahawa SUV segmen-B tujuh-tempat duduk baharu berasaskan model konsep Mitsubishi DST akan dilancarkan tahun ini, jenama automotif dari Jepun berkenaan turut mengesahkan bahawa model generasi baharu untuk SUV ladder frame Pajero Sport dan juga MPV segmen-B tujuh-tempat duduk Xpander bakal didedahkan selepas 2025, dan kedua-duanya akan membuat kemunculan sulung global di ASEAN.
Untuk Pajero Sport seperti biasa ia akan diasaskan dari trak pikap Triton di mana model generasi baharunya sudahpun berada sekitar dua tahun dalam pasaran. Jadi SUV baharu tersebut mungkin turut akan menerapkan rekaan agresif ‘Beast Mode’ yang sama dengan Triton.
Begitu juga dengan unit rangkaian kuasa, enjin baharu MIVEC DOHC turbodiesel 4N16 2.4 liter empat silinder yang sama seperti Triton sebenarnya sudahpun diberikan pada Pajero Sport facelift yang diperkenalkan tahun lalu. Enjin berkuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik enam kelajuan baharu, dan sudah tentu akan diberikan sistem 4WD.
Manakala untuk Xpander, sedar tak sedar model generasi sedia ada sebenarnya sudah lapan tahun berada dalam pasaran selepas muncul pertama kali pada Ogos 2017. Jadi ia sememangnya sudahpun sampai masa untuk diberikan model generasi baharu.
Namun unit rangkaian kuasa MPV segmen-B tujuh tempat duduk tersebut iaitu enjin MIVEC 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, bersama kotak gear CVT yang memacu roda hadapan akan dikekalkan.
Selain dari rupa luaran dan dalaman, Mitsubishi mungkin akan memberikan tingkat taraf sistem keselamatan seperti ADAS dan juga pertambahan jumlah beg udara, di mana model generasi sedia ada hanya dibekalkan sebanyak dua unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.