Ketika membentangkan prestasi kewangan tahunan penuhnya, Mitsubishi telahpun mengumumkan bahawa model konsep SUV tujuh-tempat Mitsubishi DST bakal diterjemahkan dalam versi produksi dan dilancarkan pada tahun ini, serta bakal membuat kemunculan global di ASEAN.
Model produksi bagi Mitsubishi DST berkenaan akan dihasilkan sebagai SUV segmen-B tujuh-tempat duduk bagi berhadapan terus dengan model seperti kembar Toyota Rush, Daihatsu Terios dan Perodua Aruz, berbeza dengan Xpander yang masih dikelaskan sebagai sebuah MPV.
Walau bagaimanapun ia masih menggunakan kerangka badan jenis monocoque yang bakal memberikan lebih keselesaan dan pengendalian lebih baik berbanding dari lawannya yang menggunakan casis jenis body-on-frame. Ia dijangka masih menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti SUV segmen-B lima-tempat duduk Mitsubishi XForce, dengan enjin MIVEC 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, bersama kotak gear CVT hanya memacu roda hadapan.
Varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid juga boleh dijangka akan diberikan, dengan sistem sama seperti ditawarkan pada Xpander HEV dan XForce HEV yang menampilkan petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.
Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.
Bila model ini akan dilancarkan masih belum dinyatakan. Namun kalau kita mengikuti cara Mitsubishi memperkenalkan model-model baharunya untuk pasaran ASEAN beberapa tahun kebelakangan ini, model produksi biasanya akan muncul selepas setahun model konsepnya didedahkan. Jadi boleh diagak model ini mungkin akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.