PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Turbo Hybrid 2024 — 1.6L cekap capai lebih 1,200 km; SUV paling jimat kini?

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Turbo Hybrid 2024 — 1.6L cekap capai lebih 1,200 km; SUV paling jimat kini?

Menuju suku keempat hujung tahun lalu, ketika perhatian pasaran di Malaysia lebih tertumpu kepada barisan model kenderaan dari China yang secara bertali-arus rancak diperkenalkan di sini, ada sebuah SUV dari jenama pengeluar Korea Selatan yang tanpa banyak bunyi, dilancarkan di sini — Hyundai Santa Fe facelift 2024.

Hyundai Santa Fe tentulah bukan model yang terlalu asing untuk pasaran Malaysia. Ia sudah berada dalam pasaran di sini sejak kira-kira 20 tahun lalu, dan versi terkini yang dimaksudkan ialah model facelift bagi generasi keempatnya (di pentas global, model generasi kelima Santa Fe sudah membuat penampilan di Beijing pada 2024).

Apa yang menarik tentang pengenalan Sante Fe kali ini ialah buat pertama kalinya ia dihadirkan juga dalam varian hibrid untuk pasaran Malaysia. Ketika ini, ada tiga varian dengan dua sistem janaan kuasa yang ditawarkan bagi model facelift generasi keempat ini: 1.6L Turbo Hybrid Plus (RM195,888), 2.2L Diesel Max (RM209,888) dan 1.6L Turbo Hybrid Max (RM215,888).

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Turbo Hybrid 2024 — 1.6L cekap capai lebih 1,200 km; SUV paling jimat kini?

Dari segi harga, memang keadaannya tidak mudah untuk Santa Fe — pesaing dalam kelas atau segmen D yang sama rata-ratanya ditawarkan dengan harga yang lebih murah. Untuk perspektif, antara pesaing aktif SUV tersebut ketika ini dalam pasaran Malaysia misalnya ialah Chery Tiggo Pro 8, yang dijual dengan harga bermula RM159,800; Jetour VT9 dengan harga bermula dari RM119,350; Omoda Jaecoo C9 dengan harga bermula RM168,800; dan Proton X90 dengan harga bermula RM123,800. Untuk pengeluar Jepun, segmen ini diwakili antaranya oleh model seperti Mazda CX-8.

Tentu saja, harga yang dikenakan bergantung kepada senarai spesifikasi yang ditawarkan dan berbeza bagi setiap varian, tetapi intinya adalah ini — dalam segmen D SUV ketika ini, terdapat banyak persaingan baru dari model keluaran syarikat China yang turut bersaing, terutama dalam julat harga yang hampir sama atau tentunya yang lebih murah seperti dinyatakan itu.

Tetapi, senjata utama dan sangat penting bagi Santa Fe ini ialah teknologi hibridnya. Jika terlepas pandang dan kami tidak mencuba sendiri penawaran terbaru daripada Hyundai ini, mungkin pandangan kami juga sama seperti kebanyakan orang yang beranggapan bahawa Santa Fe ini sebuah model yang tidak banyak berubah, melainkan penampilan rekaan luarannya. Tetapi, itu sebuah tanggapan yang salah: Santa Fe dengan teknologi turbo hibrid kali ini adalah sesuatu yang sangat menarik dan penting untuk diberi perhatian — tidak berlebihan jika ingin menyifatkannya sebagai a game changer bagi segmen D SUV.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Turbo Hybrid 2024 — 1.6L cekap capai lebih 1,200 km; SUV paling jimat kini?

Mengapa begitu? Ini beberapa fakta tentang sistem janaan hibrid yang ditawarkan Santa Fe: ia menggunakan enjin 1.6 liter turbo petrol (1.6 Gamma-II T-GDi Hybrid) suntikan terus dengan janaan 180 PS pada 5,500 rpm dan 265 Nm tork dari 1,500-4,500 rpm. Enjin ini dibantu juga oleh sebuah motor elektrik 44.2 kW yang menjana tork maksimum sebanyak 264 Nm, membolehkan SUV ini menghasilkan output keseluruhan sebanyak 230 PS dan 350 Nm tork.

Ini angka yang “sedap” untuk sebuah SUV, tambahan pula dengan kadar cukai jalan yang rendah untuk enjin 1.6L — padahal, Santa Fe ini ditawarkan dengan perincian yang premium secara keseluruhannya.

Kuasa ini disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik enam-kelajuan. Enjin Smartstream hibrid yang digunakan ini menampilkan teknologi Continuously Variable Valve Duration (CVVD) yang pertama di dunia, yang membolehkan prestasinya dioptimumkan dengan melaraskan durasi injap berdasarkan keadaan pemanduan.

Ini diterjemahkan kepada apa? Tentulah penjimatan bahan apinya — Santa Fe 1.6L turbo hibrid ini mampu memberikan jarak yang didakwa mencapai 1,288 km dengan satu tangki penuh petrol (tangki minyaknya berkapasiti 67-liter). Dan, kami berani mengesahkan, bahawa ini bukanlah satu angka untuk tujuan promosi semata-mata: sepanjang kami memandu uji model ini, bacaan purata terbaik yang dicatatkan oleh komputer ialah 6.4 l/100 km — ini, bagi sebuah SUV segmen D dengan tujuh-tempat duduk, adalah suatu bacaan yang sangat menjimatkan.

Untuk memberi gambaran visual lagi tentang ini, ketika bacaan ini diambil, meter minyak berada di tahap separuh tangki dengan perjalanan yang sudah dilalui sejauh 607 km dan baki jarak komputer yang tertera ialah 404 km. Tentulah semua ini bergantung kepada keadaan dan cara pemanduan, namun inilah idea kasar tentang penjimatannya bagi penggunaan nyata. Hyundai tak hanya main petik ketika mempromosikan jarak 1,288 km ini — ia mampu dicapai dalam dunia sebenar, dengan disiplin pemanduan yang betul.

Meluangkan masa yang lama dalam perjalanan jauh bersama Hyundai Santa Fe turbo hibrid ini meyakinkan lagi sudut pandang kami terhadap kemajuan teknologi hibrid yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini — ia sudah berada di tahap yang matang, dan memandunya juga tidak terasa berbeza daripada memandu kereta dengan enjin biasa, sama sekali jauh berbeza dan tidak sama seperti diawal kemunculan teknologi ini dahulu.

Ia bahkan memberi banyak kelebihan berbanding EV. Bayangkan ini: anda tidak perlu untuk kerap mengisi minyak (atau mengecas jika EV) kerana jarak yang boleh diharunginya dengan satu tangki penuh adalah melebihi 1,200 km. Ini secara purata ialah tiga kali lebih jauh berbanding satu cas EV yang mampu memberikan 400 km sekali cas. 1,200 km tanpa keperluan mengecas (misalnya untuk PHEV): ini adalah satu kelebihan yang tidak akan mengusutkan kepala.

Dan, dalam kita masih tertanya-tanya bila dan bagaimana perlaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON 95 akan dilaksanakan, Hyundai Santa Fe ini secara tidak langsung telah memberi petunjuk dan jalan keluar kepada kemungkinan peningkatan kos bahan api bagi perbelanjaan keluarga yang mungkin terpaksa dihadapi oleh sesetengah individu yang mungkin terkesan nanti. Sekali lagi, teknologi hibrid ini semakin matang dan mampu bersaing dengan apa saja yang ditawarkan oleh EV.

Dengan adanya turbo untuk enjin 1.6L yang digunakan, penyampaian tenaga dan kuasa yang ada pada Santa Fe ini juga sangat meyakinkan. Perlu disedari bahawa ini adalah sebuah SUV dengan saiz yang agak besar, dan dengan kapasiti penumpang yang penuh, ia tidak boleh kurang kuasa.

Sepanjang memandunya, tidak pernah kami merasakan kurang kuasa sedemikian. Pada kebanyakan waktu, ketika dengan kapasiti penumpang penuh tiga orang dewasa dan empat kanak-kanak, Santa Fe ini sentiasa berhasil membekalkan kuasa yang lebih daripada cukup, tetapi dengan kelebihan dari aspek penjimatan bahan api dan jarak perjalanan.

Dari segi rekaan pula seperti apa yang dapat dilihat, Santa Fe terbaru ini tampil dengan bahagian wajah depan yang gagah. Rekaan grilnya besar dan lebar, bersambung dengan unit lampu utama projektor LED penuh di sisinya serta bahagian DRL di atasnya.

Bahagian belakang menampilkan rekaan lampu kombinasi LED yang turut dihubungkan oleh jalur lampu berkelebaran penuh (yang tiada sebelum ini) — dengan elemen utama yang merentangi bahagian depan dan belakangnya ini, Santa Fe tampil dengan visual yang lebar dan sasa. Bahagian landasan di atas bumbungnya juga diperbuat daripada aluminum, dan bukannya plastik.

Bahagian dalaman juga melengkapkan lagi imej sasa yang terlihat di luar. Paling utama, ia tidak terasa atau terlihat murah. Rekaan papan pemuka hadir dengan sentuhan berlapis dengan elemen lengkuk, kemasan warna perak atau krom yang kelihatan dominan terutama di bahagian konsol tengahnya yang nampak sibuk dengan pelbagai butang.

Untuk memudahkan pemandu memerhatikan data dan keadaan pemanduan semasa, meter kluster digital LDC 12.3-inci tersedia dan mudah diperhatiakan yang memancar dari bahagian belakang sterengnya. Selain itu ada juga paparan multimedia lapan-inci di tengah papan pemuka untuk kendalian ciri ketersambungan SUV ini.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Turbo Hybrid 2024 — 1.6L cekap capai lebih 1,200 km; SUV paling jimat kini?

Santa Fe ini mempunyai ukuran dimensi 4,785 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi serta jarak roda 2,765 mm. Dengan ukuran seperti ini, serta pelbagai kombinasi konfigurasi tempat duduk menjadikan Hyundai Santa Fe ini sebuah SUV keluarga yang luas untuk disesuaikan dengan apa saja aktiviti keluarga.

Untuk keselesaan, tempat duduk barisan keduanya menyediakan ruang kaki sebanyak 1,040 mm, dengan barisan ketiga pula 746 mm. Dengan kerusi barisan ketiga direbahkan, keluasan ruang barangan yang ada ialah 782 liter.

Ruang kabin yang disediakan oleh Santa Fe ini lebih daripada memadai untuk memuatkan tujuh orang dengan selesa — ini satu kelebihan yang selalu menjadi sebab “pemenang” bagi SUV berbanding sedan, misalnya. Lagi satu sebab yang menarik dan menjadi pilihan ramai orang adalah kedudukannya yang tinggi daripada permukaan jalan, lantas memberikan sudut pandangan yang lebih luas dan jauh ke depan. Kabinnya terasa premium dengan pilihan material dalaman kulit hitam.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Turbo Hybrid 2024 — 1.6L cekap capai lebih 1,200 km; SUV paling jimat kini?

Aspek keselamatan juga tidak kurang canggih untuk SUV ini. Selain enam-beg udara serta barisan ciri keselamatan umum seperti ABS, Brake Assist dan ESC, Santa Fe ini turut dilengkapi dengan set keselamatan canggih Hyundai SmartSense. Ia terdiri antaranya oleh fungsi seperti Smart Cruise Control (SCC), High Beam Assist (HBA), Blind Spot Collision Warning (BSCW), Driver Attention Warning (DAW), Lane Following Assist (LFA) dan lain-lain.

Empat pilihan warna badan diberikan — Jet Black, Snowflake White Pearl, Meteor Grey, Stormy Sea, dengan hanya satu pilihan warna dan kemasan hitam untuk bahagian kabinnya.

Jika ada yang ingin mendapatkan sebuah kenderaan dengan teknologi terkini tetapi EV bukan dalam senarai itu, kami sangat tekankan untuk anda mencuba dahulu teknologi hibrid seperti yang ada untuk Santa Fe ini. Bagi kami, ini pilihan yang lebih “masuk akal” untuk kebanyakan pengguna di Malaysia ketika ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required