Tahukah anda, penggunaan lampu strob (strobe light atau beacon light) oleh kenderaan persendirian yang tiada kaitan dengan penguatkuasaan adalah menyalahi undang-undang lalu lintas.
Tetapi masih ada lagi pemandu kenderaan persendirian yang berdegil dan masih menggunakan lampu strob, seakan kebal dengan undang-undang. Perkara ini turut mendapat perhatian Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Menurut CEO Fomca, Dr T Saravanan penggunaan lampu strob oleh kenderaan persendirian ini boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya dan berisiko menyebabkan kemalangan, laporan Harian Metro.
Katanya, Fomca memandang serius isu penyalahgunaan lampu jenis itu yang berwarna biru oleh kenderaan persendirian terutama kenderaan mewah.
“Apabila pemilik kenderaan persendirian yang tidak mempunyai kebenaran rasmi memasang aksesori ini, ia menimbulkan kekeliruan yang nyata di jalan raya. Pengguna jalan raya lain menyangka mereka sedang didatangi kenderaan penguatkuasaan, mungkin akan menukar lorong atau membrek secara mengejut bagi memberi laluan. Ini sekali gus mencetus situasi berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Tambah beliau, lebih membimbangkan lagi apabila terdapat pemilik kenderaan yang menyalahgunakan lampu demikian untuk menunjukkan kuasa palsu seperti memotong barisan dalam kesesakan lalu lintas, memberi isyarat palsu untuk laluan kecemasan atau menakut-nakutkan pemandu lain agar memberi laluan.
“Ini bukan sahaja menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan pengguna jalan raya lain, malah menodai imej dan fungsi kenderaan penguatkuasaan sebenar. Kepercayaan masyarakat terhadap kenderaan rasmi akan terjejas.
“Fomca ingin menegaskan bahawa semua ini berpunca daripada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan aksesori ini tanpa memikirkan kesannya kepada keselamatan orang ramai. Ia mencetus banyak kekacauan dan menyusahkan pengguna jalan raya secara keseluruhan,” katanya.
Justeru itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pemilik kenderaan yang memasang strobe light tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini bukan sekadar kesalahan kecil melibatkan aksesori kenderaan, tetapi satu bentuk pelanggaran undang-undang yang secara langsung memberi impak terhadap keselamatan awam. Fomca mencadangkan agar pemilik kenderaan yang bersalah bukan sahaja didenda, tetapi juga dikenakan tindakan konfiskasi (penyitaan) kenderaan serta penggantungan atau pembatalan lesen memandu mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan turut menggesa kerajaan agar menjalankan operasi bersepadu secara berkala bersama JPJ, PDRM dan PUSPAKOM untuk menyemak kenderaan yang telah diubah suai tanpa kelulusan.
“Pemeriksaan perlu diperluaskan ke bengkel aksesori kenderaan yang menjual atau memasang lampu strob biru tanpa perakuan sah. Sekiranya mereka terlibat, lesen perniagaan mereka harus dikenakan tindakan. Selain itu, pendidikan kepada orang awam juga perlu dilaksanakan secara agresif agar masyarakat lebih peka terhadap undang-undang serta risiko penyalahgunaan aksesori tertentu di jalan raya.
“Dalam hal keselamatan pengguna jalan raya, tiada kompromi harus diberikan kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang,” katanya.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pernah memaklumkan bahawa pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebehi enam bulan.
Menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 hanya kenderaan dalan tugas kecemasan seperti kenderaan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.