Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, hari ini secara rasmi Toyota mendedahkan model generasi baharu untuk SUV Toyota RAV4 yang bakal menggantikan model generasi kelima sedia ada yang sudah berada tujuh tahun dalam pasaran. Versi generasi keenam ini masih lagi diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan ditawarkan dalam versi petrol penuh, hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Model generasi baharu ini menerima muka signatur ‘jerung Hammerhead’ terkini Toyota yang menampilkan lampu utama berbentuk-C. Manakala bentuk sisinya pula masih mengekalkan konsep dari generasi sedia ada yang menampilkan garis-garis bersegi, dan ruang roda yang berotot. Dan di belakang ia diberikan lampu lebih nipis, bersambung dengan bar yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.
Namun RAV4 2026 ini datang dalam tiga penggayaan berbeza iaitu versi Core yang menerima rupa yang sesuai untuk kegunaan urban dengan gril sarang lebah seakan Corolla Cross facelift, versi Adventure yang menampilkan rupa lebih lasak dengan gril seperti Land Cruiser Prado dan bampar lebih bersegi, serta GR Sport yang tampil dengan rekaan diinspirasikan dunia sukan permotoran, dengan gril hadapan menyerupai gril pada GR Corolla.
Bagi RAV4 Core, ia menampilkan dimensi panjang 4,600 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak roda sejauh 2,690 mm. Jadi model generasi baharu ini sebenarnya menampilkan saiz dan jarak roda yang sama sepenuhnya dengan model generasi sedia ada, kecuali ia 5 mm lebih rendah. Manakala bagi varian Adventure dan GR Sport pula ia adalah sedikit lebih lebar iaitu 1,880 mm.
Untuk unit rangkaian kuasa, buat masa sekarang hanya sedikit perician bagi model pasaran Amerika Syarikat didedahkan. Di sana model petrol penuh menerima enjin 2.5 liter empat silinder NA dengan pilihan versi pacuan roda hadapan atau roda belakang.
Kemudian untuk varian hibrid, versi pacuan roda hadapan menerima kuasa 226 hp manakala versi hybrid AWD pula dibekalkan 236 hp. Bagi versi PHEV pula ia disertakan dengan sistem AWD dan kuasa keseluruhan 320 hp.
Sistem PHEV berkenaan juga didakwa ia boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 150 km. Bateri sistem PHEV ini boleh dicas semula dengan menerima sistem AC 11 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC yang didakwa boleh memenuhkan bateri dari kadar 10-80% dalam masa sekitar 30 minit.
RAV4 ini juga merupakan model pertama Toyota yang menerima Arene, iaitu platform pembangunan perisian yang dihasilkan oleh Woven by Toyota. Jenama itu menyatakan ini adalah langkah pertama bagi menjadikan model tersebut sebagai sebuah kenderaan diperhalusi oleh perisian.
Model generasi baharu ini juga adalah yang pertama menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0) terbaharu. Antara fungsi yang diberikan pada TSS 4.0 tersebut termasuk Emergency Driving Stop Function (EDSS) yang membantu pemandu memberhentikan kederaan sekiranya terjadi perkara seperti pemandu yang tiba-tiba sakit dan sebagainya.
Pada sebelah dalam, papan pemuka SUV ini tidak lagi kelihatan bosan seperti model generasi sebelumnya. Toyota memberikan rekaan yang diinspirasikan dari rekaan papan pemuka Land Cruiser Prado yang berkotak, futuristik dan nampak lasak pada RAV4 2026 ini.
Ia juga menerima paparan ‘skrin sebenar’ bersaiz 12.3-inci untuk instrumen digital berbentuk segi-empat tanpa perumah, dan juga skrin infotainmen bersaiz 12.90-inci yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah. Roda stereng juga direka selari dengan papan pemuka dengan rekaan susunan suis serta perumah beg udara berbentuk petak, manakala pada varian lebih tinggi ia turut diberikan paparan head-up.
Untuk sistem bunyi pula, Toyota memberikan pilihan sistem audio sama ada dengan enam- atau sembilan pembesar suara. Turut ditunjukkan adalah bahagian konsol tengah SUV ini yang menampilkan tombol gear bersaiz kecik diletakkan berhampiran dengan pemegang cawan. Perehat tangan pada bahagian konsol ini juga boleh diterbalikkan untuk dijadikan sebagai tray.
Bahagian kargo RAV4 baharu ini memberikan ruang simpanan berkapasiti 749 liter dengan semua tempat duduk dinaikkan, sedikit lebih besar dari model sebelumnya yang menawarkan kapasiti 733 liter. Untuk mengangkat barang lebih banyak atau lebih besar, tempat duduk baris kedua dan ketiga SUV ini turut boleh diturunkan dan memberikan lantai yang rata.
Toyota RAV4 generasi keenam ini akan mula dijual di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat bermula lewat tahun ini. Ia kemudiannya akan tiba ke pasaran global melibatkan lebih 180 negara. Kita di Malaysia juga lazimnya mendapat Toyota RAV4 ini, di mana model sedia ada dilancarkan di sini sejak Jun 2020, ditawarkan dengan enjin petrol penuh 2.0 liter dan 2.5 liter.
GALERI: Toyota RAV4 Core 2026
GALERI: Toyota RAV4 Adventure 2026
GALERI: Toyota RAV4 GR Sport 2026
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.