Awal minggu ini, PDRM telah mengumumkan terdapat penutupan jalan secara berperingkat di enam buah lebuhraya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang pada 23 hingga 28 Mei ini sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Memandangkan tiga lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, ELITE dan NKVE turut termasuk dalam senarai antara enam lebuhraya terbabit, maka PLUS ingin mengingatkan kepada para penggunanya agar merancang perjlanan sewajarny pada tempoh berkenaan.
Dari 23-26 Mei, penutupan jalan berperingkat akan dilaksana dari jam 7 pagi di laluan KLIA – Putrajaya di Lebuhraya ELITE, Subang – Jalan Duta di NKVE, dan Sungai Buloh – Damansara di Lebuhraya Utara-Selatan. Ini adalah sempena ketibaan pemimpin ASEAN, yang kemudian konvoi VIP ini akan menuju ke hotel penginapan yang terletak di pusat bandar.
Delegasi juga akan berlepas pulang pada 28 Mei, yang akan menyaksikan laluan sama iaitu Lebuhraya ELITE, NKVE dan Lebuhraya Utara-Selatan ditutup secara berperingkat, mulai 8 pagi. Lihat nota di bawah untuk gambaran yang lebih jelas.
PLUS turut berkata pihaknya akan bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi di lebuhraya kendaliannya sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa yang sama, pihak PLUS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya anggota trafik yang bertugas bagi memudahkan pergerakan delegasi di lokasi-lokasi yang melalui Lebuhraya PLUS.
“PLUS menasihatkan pengguna lebuhraya terutamanya yang menuju ke atau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan TUDM Subang, supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
“Orang ramai juga disaran supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas trafik di lokasi. Jika pemanduan tidak dapat dielakkan, sila gunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika penutupan laluan dilaksanakan,” kata PLUS.
Untuk makluman trafik terkini, pengguna lebuhraya boleh merujuk kemas kini melalui platform media sosial JSPT/PDRM, aplikasi PLUS, X @PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih di lebuhraya. Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze bagi merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.