Tengah hari ini negara dikejutkan dengan perletakkan jawatan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi, di mana perkara berkenaan diumum menerusi satu kenyataan rasmi yang turut disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi Ahli Parlimen Pandan itu. Perletakkan jawatan tersebut akan berkuat kuasa 17 Jun ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang di mana beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
Perletakkan jawatan ini sudah dijangka apabila Rafizi kalah di dalam pemilihan Parti Keadilan Nasional (PKR) dan gagal untuk mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden parti berkenaan baru-baru ini.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Ketika menyandang jawatan menteri ekonomi, Rafizi telah melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari 2024 iaitu pangakalan data sosio ekonomi yang disebut akan menjadi komponen utama bagi menentukan pemberian subsidi dan bantuan kewangan.
Ia termasuk untuk pengagihan subsidi untuk bahan api petrol RON 95 apabila kerajaan mula beralih ke kaedah subsidi bersasar kelak. Buat masa sekaran subsidi RON 95 masih diberikan secara pukal untuk semua rakyat Malaysia dengan harga siling ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter sejak 2021.
Kemaskini terakhir yang diumumkan oleh Rafizi pada bulan ini bahawa tanggungjawab kementeriannya untuk merangka langkah perlaksanaan tersebut sudahpun selesai, dan ia kini telah diserahkan sepenuhnya kepada kementerian kewangan bagi menjalankan langkah seterusnya.
Manakala awal minggu ini perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan jamin bahawa harga bahan api RON 95 tidak akan dinaikkan untuk rakyat walaupun rasionalisasi subsidi ini dijalankan, dan ia hanya melibatkan warga asing. Manakala menteri kewangan kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula mengesahkan bahawa langkah untuk merasionalisasikan subsidi bahan api RON 95 itu akan bermula pada separa kedua tahun ini seperti yang dirancang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.