Aveta Motor, yang ditubuhkan di Malaysia sejak tahun 2018 mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan salah faham ramai berkaitan pemilikan serta hubungannya dengan jenama lain.
Isi utama dalam kenyataan itu ditandakan dengan jelas – Aveta Motor Malaysia tidak mempunyai gabungan, kaitan atau hubungan dalam apa cara sekali pun dengan Demak, atau jenama dan pengedar motosikal lain di Malaysia.
“Aveta Motor adalah satu syarikat milik penuh warga Malaysia sendiri, diuruskan di bawah Aveta Global Marketing Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada MAG Group. Semua bahagian perniagaan kami – dari operasi ke pembangunan produk dan pemasaran – semuanya diuruskan di dalam negara oleh pasukan Malaysia yang komited untuk memberikan motosikal mampu milik berkualiti kepada pasaran tempatan,” tertulis dalam siaran akhbarnya.
Persepsi ramai yang mengatakan Aveta ada pertalian dengan Demak timbul apabila ada modelnya yang kelihatan sama sepeti model Demak. Namun kini, kenyataan yang dikeluarkan telah menafikan sebarang hubungan dengan Demak.
Bermula dengan ‘kapcai murah’, sekarang Aveta mempunyai pelbagai model dalam pasaran termasuk “supermoped” SVR 180, hibrid VADV 150, kapcai gaya hidup lasak Aveta Ranger, scrambler VTM 150, skuter 250 cc Vanguard dan skuter Nova.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.