Selain dari perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge tahun ini, kita di Malaysia bakal disajikan dengan satu lagi perlumbaan dengan format serupa menggunakan kereta lumba dari Toyota iaitu Toyota GR 86 Cup. Namun berbanding Vios Challenge yang dianjurkan oleh Toyota Gazoo Racing Malaysia (UMW Toyota) sendiri, GR 86 Cup ini pula dikelola oleh Haro Sports & Entertainment, iaitu pemegang hak dan promoter sama untuk perlumbaan Autobacs Super GT pusingan Malaysia.
Jadi untuk perlumbaan ini, Haro telah membawa 30 unit GR 86 dalam spesifikasi Cup Car bagi dijual kepada mana-mana pihak yang berminat menyertai siri perlumbaan tersebut. Siri GR 86 Cup ini sebenarnya turut dianjurkan di pelbagai negara lain termasuk Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Jentera ini diasaskan dari varian ‘kosong’ GR 86 RC pasaran Jepun yang datang tanpa aksesori seperti sistem infotainmen, dan hanya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Varian ini hanya menampilkan berat keseluruhan 1,260 kg, tetapi mencapai 1,290 kg selepas ia siap sebagai sebuah kereta lumba. Ia juga masih menampilkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm.
Bagi menjadikan ia sebuah jentera dalam spesifikasi Cup Car, GR 86 ini diberikan tingkat taraf seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Talaan enjin masih lagi standard, namun talaan pada respons pendikit dibenarkan dengan penggunaan pengawal pendikit elektronik bagi memberikan kawalan pedal dan respon yang lebih baik kepada pemandu.
Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD. Kereta lumba ini juga diberikan LSD Torsen pada gandar belakang, manakala sistem stereng berkuasa elektrik mendapat talaan semula.
Dari kilang GR 86 RC ini juga sebenarnya hanya datang dengan set rim besi 16-inci bersama tayar bersaiz 205/55R16. Namun untuk perlumbaan di Malaysia ini, semua pasukan diwajibkan untuk meggunakan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj, dibalut dengan tayar rasmi untuk siri ini di Malaysia iaitu Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.
Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.
Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage berdiameter 40 mm yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket Bride Zeta untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.
Selain itu ia juga datang dengan sistem pemadam api dan kill switch di luar dan dalam kabin bagi mematikan arus elektrik sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan, pin bonet keselamatan dan juga cangkuk tunda di hadapan dan belakang bagi memudahkan kerja-kerja menunda di dalam litar.
Walaupun datang dengan pelbagai tingkat taraf prestasi dan peralatan perlumbaan, GR 86 Cup Car ini dijual pada harga hanya RM208,315 termasuk cukai jualan dan penghantaran ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Untuk perbandingan, Toyota GR 86 baharu yang dijual di bilik pameran UMW Toyota dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM295,000 untuk varian manual.
Ini kerana kereta-kereta lumba ini di bawa masuk ke Malaysia menggunakan AP sukan permotoran (Motorsport AP), bermakna ia tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan di atas jalan raya. Menurut Haro lagi, spesifikasi untuk kereta lumba GR 86 Cup Malaysia ini juga telah memenuhi undang-undang kelas SP1 dalam siri perlumbaan Malaysia Championship Series 2025, membolehkan ia menyertai banyak lagi perlumbaan tempatan selain GR 86 Cup.
Pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang pada 26 Jun nanti, dan ia akan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.