Nissan Leaf 2026 – dibuat untuk jadi lebih cekap, 0.25 Cd, jarak gerak “300 – 500 km” sekali cas penuh

Nissan Leaf 2026 – dibuat untuk jadi lebih cekap, 0.25 Cd, jarak gerak “300 – 500 km” sekali cas penuh

Nissan berkongsi lebih banyak maklumat berkenaan model Leaf generasi ketiga yang sebelum ini diperkenalkan secara ringkas Mac lalu. Pelancaran rasmi model elektrik ini dijangka berlangsung dalam masa beberapa minggu lagi. Maklumat terbaru ini disampaikan melalui siri video pendek tiga bahagian yang menunjukkan perkembangannya, yang sekarang sudah berubah daripada sebuah hatchback biasa kepada SUV elektrik yang lebih bergaya – sedikit lebih kecil daripada model Ariya.

Model baharu Leaf ini dibina menggunakan platform CMF-EV yang sama dengan Ariya dan tampil dengan rekaan yang sangat moden. Antara ciri menarik adalah jalur lampu hadapan melintang penuh, lampu siang bentuk segi empat melengkung, bonet yang kelihatan lebih tajam, bahagian belakang lebar, bumbung rendah serta pemegang pintu belakang yang tersembunyi.

Antara yang menarik, Leaf baharu ini lebih aerodinamik berbanding model-model Nissan sebelum ini hasil penggunaan gril aktif yang boleh dibuka dan ditutup, pemegang pintu yang sama rata dengan badan dan bahagian bawah kereta yang rata sepenuhnya. Hasilnya, model untuk pasaran Eropah mencatatkan kecekapan rintangan udara serendah 0.25 Cd.

Meskipun kita masih belum dapat melihat sepenuhnya bahagian belakang kereta ini, Nissan mengatakan rekaan pintu belakangnya yang bersambung dengan bentuk bumbung fastback membantu menghasilkan kesan seperti sayap untuk meningkatkan aerodinamik.

Bahagian dalam Leaf juga masih belum ditunjukkan sepenuhnya, kecuali bumbung kaca panoramik. Ia datang dengan fungsi penggelapan elektrokromik, di mana pengguna boleh mengawal tahap kegelapan bumbung seperti membuka dan menutup penutup penghadang matahari biasa. Menariknya, disebabkan tiada penutup bumbung manual, Nissan dapat merendahkan bumbung sebanyak 12 mm tanpa menjejaskan ruang kepala.

Matlamat utama Nissan kali ini adalah untuk menjadikan Leaf lebih cekap atas lebuh raya. Walaupun jarak gerak sebenar masih belum diumumkan, Nissan meletakkan sasaran Leaf boleh digunakan untuk perjalanan jarak jauh antara 300 ke 500 km untuk setiap cas penuh. Menurut naib presiden strategi produk global Nissan, Richard Candle, Leaf juga mampu menambah lebih 250 km hanya selepas dicas 14 minit menggunakan sumber DC – maklumat spesifik pengecas masih belum disiar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required