Perlumbaan pusingan kedua untuk siri ‘one make’ Vios Challenge musim 2025 bakal berlangsung hujung bulan ini, di mana ia akan berlangsung sekali dengan siri perlumbaan Autobacs Super GT yang bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang untuk pusingan ketiga bagi musim ini.
Ia berikutan UMW Toyota Motor dan Toyota Gazoo Racing Malaysia telah dilantik sebagai penaja utama perlumbaan yang dianjurkan oleh pemegang hak dan promoter untuk acara berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment. Menurut Toyota Malaysia, acara yang akan berlangsung bermula 26 hingga 28 Jun 2025 tersebut dijangka menarik lebih 40,000 penonton bersama audien global yang boleh mencecah sehingga 162 juta orang menerusi siaran langsung penonton atas talian.
“Penyertaan kami sebagai penaja utama mencerminkan komitmen berterusan UMW Toyota Motor untuk memartabatkan sukan permotoran Malaysia. Vios Challenge, perlumbaan ‘one make’ terulung telah menjadi batu loncatan yang terbukti untuk bakat tempatan, dan kini pemandu kami bersaing di pentas yang sama dengan pasukan antarabangsa di Super GT menandakan kejayaan yang bermakna,” kata presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.
“Peluang ini selaras dengan falsafah Gazoo Racing kami bagi memaksa hingga ke had untuk lebih baik – bukan hanya dalam pembangunan kenderaan, malah untuk manusia. Festival SUPER GT Malaysia bukan sekadar platform untuk pertandingan — ia adalah papan pelancaran yang dengan bangganya meletakkan Toyota Gazoo Racing Malaysia pada peta sukan permotoran global dan mempamerkan bahawa Toyota Gazoo Racing Malaysia berada di sini, aktif dan bersedia untuk berkembang,” tambahnya.
Untuk perlumbaan musim ke-8 pusingan kedua ini, ia akan disertai oleh 35 buah Vios yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Super Sporting (pelumba professional), Sporting (pelumba amatur) dan juga Rookie (pelumba muda dalam program pembangunan bakat muda Toyota).
Kali ini Vios Challenge akan berlangsung dalam litar penuh SIC dengan jarak 5.543 km satu lap, dan ia akan berlangsung selama satu jam berbanding hanya 30-minit pada pusingan pertama.
Selain dari Vios Challenge, Haro turut akan menampilkan perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia sebagai satu lagi perlumbaan sokongan Super GT pusingan Malaysia 2025. Ia merupakan perlumbaan pertama untuk musim pertama siri berkenaan, dan ia akan berlangsung sebanyak 10-lap.
Untuk perlumbaan sebenar Super GT pula, tumpuan akan diberikan kepada dua pasukan yang menggunakan jentera Toyota GR Supra dalam kelas GT500 iaitu TOM’S GR Supra yang menjadi juara untuk musim 2023, 2024 serta pusiangan pertama Super GT 2025 di Okayama, dan juga KeePer Cerumo GR Supra yang menang di perlumbaan pusingan kedua musim 2025 di Fuji Speedway.
Seperti biasa, UMW Toyota turut akan membawa barisan model-model prestasi GR sebenar seperti GR Yaris, GR Corolla, GR Supra dan GR86, bersama-sama barisan model GR Sport seperti Corolla GR Sport dan Corolla Cross HEV GR Sport untuk dipamerkan, serta pelbagai barangan rasmi GR untuk dijual kepada peminat.
Selain itu, acara yang turut dianjurkan bersama oleh Nihon Matsuri ini juga disahkan turut akan disertakan dengan konsert selepas perlumbaan GT-Live! menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa, antaranya trio Tenxi, Naykilla & Jemsii aka TNJ dari Indonesia yang akan membuat persembahan “Garam & Madu (Sakit Dadaku)”, kumpulan penyanyi wanita KLP48 dari Malaysia tetapi terkenal dalam arena muzik J-Pop, Fareed dari kumpulan K-CLIQUE, Sabhi Saddi dan juga Kaka Azraff.
Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang telah dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April lalu.
Haro Sports & Entertainment sebelumnya ini turut telah mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.
Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.