Selepas sedekad tidak dianjurkan, pameran MY BMW World kembali menemui peminatnya bagi tahun 2025 ini bertempat di Sentul Depot dengan tema ‘Driven by Legacy, Defined by Progress’. Lebih menarik, ada empat model baru pemasangan tempatan (CKD) turut diperkenalkan, dan satu daripadanya ialah BMW 218 Gran Coupé Sport (2GC) 2025.
Model ini dijual dengan harga RM241,000 atas jalan belum termasuk insurans. Model BMW 218i Gran Coupe Final Edition sebelum ini dari generasi F44 dijual dengan harga RM223,800 sebelum BSRI.
Merupakan model generasi kedua dengan kod F74, model 2GC terbaru ini pertama kali ditampilkan di peringkat global pada Oktober tahun lalu. Agak pantas untuk model ini tiba di Malaysia, dan lebih menarik, terus dalam bentuk CKD. Model sebelumnya, 2GC F44 dilancarkan di sini pada 2020, dan BMW Malaysia menyatakan sudah lebih 4,500 unit terjual — melangkaui jangkaan awal penjualannya.
Sama seperti sebelumnya, model 2GC yang diterima untuk pasaran tempatan adalah dalam bentuk 218, yang kini memiliki ukuran dimensi yang sedikit lebih besar. Ada ukuran yang kekal sama: jarak roda masih 2,670 mm dan lebar kekal dengan 1,800 mm, panjang keseluruhan bertambah 20 mm menjadi 4,546 mm sementara tinggi bertambah 25 mm kepada 1,445 mm. Ruang but masih sama dengan 430 liter untuk versi ICE.
Di bahagian hadapan, gril “ginjal” BMW kini direka semula dengan palang menegak yang sedikit serong, dan disempurnakan dengan lampu utama LED adaptif DRL tegak serta lampu tinggi anti-silau dengan fungsi belokan. Model ini kelihatan lebih lebar, dan wajah depannya lebih garang dengan adanya bukaan udara sisi yang menegak dan liang udara terbuka di bahagian bawah bampar.
Di bahagian belakang, lampu LED menegak yang lebih menonjol serta diffuser yang dibentuk semula menampilkan postur lebih lebar dan kukuh. Penampilan luarnya yang dinamik telah dilengkapkan dengan trim Exterior Line Satin Aluminium, rim aloi ringan dwitona 18 inci dan penutup cermin sisi berkilat hitam — semuanya menyerlahkan keyakinan dan garis Gran Coupé dari pandangan sisi.
Ruang dalaman BMW 218 Gran Coupé Sport generasi kedua ini antara lain menampilkan BMW Curved Display digital sepenuhnya — dengan kesepaduan antara paparan kluster instrumen 10.25-inci dan paparan kawalan 10.7-inci. Kemasan aluminum dengan pencahayaan ambient menyerlahkan lagi ruang kabinnya. Sistem operasi dikuasakan oleh perisian BMW Operating System 9 dengan fungsi QuickSelect. Kerusi sportnya pula dibalut dengan kulit Veganza buatan, serta lengkap dengan fungsi memori.
Bagi aspek sistem keterhubungan, ia dilengkapi oleh BMW Live Cockpit Plus dengan BMW Operating System 9, yang menampilkan antaramuka bergaya telefon pintar, widgets masa nyata, navigasi intuitif serta kawalan suara yang dipertingkat melalui BMW Intelligent Personal Assistant. Dengan BMW Digital Premium, kereta ini turut menawarkan penstriman video beresolusi tinggi dan perkhidmatan muzik. BMW Remote Software Update pula memastikan kereta sentiasa dikemas kini, manakala BMW Digital Key Plus menjadikan telefon pintar sebagai kunci digital.
Bagi sistem janaan, kereta kompak premium ini dikuasakan oleh enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter turbo baru yang beroperasi mengikut kitaran Miller, dengan penekanan terhadap kecekapan termodinamik. Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 115 kW (156 hp) dan tork 230 Nm, memberikan prestasi bertenaga serta menggunakan bahan api secara optimum. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic klac berkembar tujuh-kelajuan, dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 8.6 saat untuk mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.
Prestasi dinamik BMW 218 Gran Coupé Sport dipertingkatkan menerusi casis yang direka semula sepenuhnya. Sistem suspensi hadapan menggunakan jenis single-joint MacPherson strut, sementara gandar belakang dilengkapi three-link axle — kini disepadukan dengan high preload anti-roll bar dan kinematik gandar yang telah dioptimumkan. Ini memberikan kesan langsung terhadap ketepatan stereng, kestabilan ketika membelok serta keselesaan pemanduan keseluruhan.
BMW 218 Gran Coupé Sport 2025 ini turut dilengkapi pelbagai sistem sokongan pemandu sebagai ciri standard. Ciri seperti Driving Assistant yang terdiri daripada Lane Change Warning, Speed Limit Info, Rear Crossing Traffic Alert dengan bantuan brek, serta Exit Warning.
Selain itu, fungsi Reverse Emergency Braking dan Predictive Forward Collision Warning meningkatkan lagi keyakinan dan keselamatan. Parking Assistant pula memudahkan pergerakan pada kelajuan rendah — dilengkapi Reversing Assistant sehingga 50 meter serta Reversing Assist Camera yang amat berguna dalam ruang sempit.
BMW 218 Gran Coupé Sport 2025 didatangkan dalam rangkaian warna yang menarik perhatian, termasuk Alpine White, Black Sapphire dan Cape York Green. Bagi ruang dalaman, kesemua varian ditawarkan dengan balutan kulit Veganza warna hitam dengan liang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.