BMW 218i Gran Coupe Final Edition yang diumumkan minggu lalu sempat dipertontonkan ketika Auto Bavaria AutoFest di KL Base hujung minggu lalu. Kami bawakan galeri penuh model berkenaan di sini.
Menggunakan asas dari varian 218i GC M Sport sebelum ini, ia hadir dengan kelengkapan tambahan untuk penampilannya. Varian terbaru ini dijual pada harga RM223,800 (dengan jaminan standard dua-tahun) atas jalan tidak termasuk insurans. Jika inginkan jaminan lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harganya ialah RM244,400.
Berbanding 218i Gran Coupe M Sport biasa tersebut, ini melibatkan pertambahan sebanyak RM5,000 (dengan atau tanpa kos jaminan lanjutan dan pakej servis) untuk kelengkapan tambahan yang diberikan bagi Final Edition ini. Antara kelainannya ialah lanjutan bagi pakej M hitam berkilat Shadowline: kini dengan kemasan sama diberikan untuk bahagian gril dan muncung ekzos (asalnya kemasan krom). Rekaan bampar M Sport yang agresif juga digunakan untuk Final Edition ini.
Selain itu, rim 18-inci Style 553 M dwi-warna yang ada untuk varian baru ini juga berbeza daripada Style 819 M untuk versi M Sport-nya. Di dalam, Final Edition ini menerima juga ciri pengecasan tanpa wayar serta sistem bunyi hi-fi dengan 10-pembesar suara, serta amplifier 205W.
Ciri selebihnya sama sahaja untuk Final Edition dan M Sport, dengan kelengkapan standardnya termasuk pelapik bumbung anthracite, kerusi sport di depan, balutan kulit Dakota, kemasan dalaman “Illuminated Boston”, lampu utama LED (dengan bantuan lampu tinggi) serta lampu kabus, Comfort Access, kawalan pendingin dua zon, pakej Driving Assistant, pakej Parking Assistant serta BMW Live Cockpit Profesional dengan paparan 10.25-inci.
Begitu juga dengan enjin, unit 1.5 liter turbocas tiga-silinder sebaris petrol kekal ada, menjana sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 220 Nm tork. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar Steptronic tujuh-kelajuan yang memacu roda depan. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, dan laju maksimum 213 km/j.
Pilihan warna pula ada tiga: Skyscraper Grey, Black Sapphire dan Alpine White, dengan kemasan kulit hitam dan perincian biru. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan dan sokongan hotline kemalangan dan juga BMW Service Online.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.