Memang kerap berlakunya kemalangan melibatkan kenderaan berat iaitu lori dan bas hingga menyebabkan banyak nyawa menjadi korban. Beberapa hari selepas kejadian, pasti ada media melaporkan pemandu kenderaan berkenaan memiliki sejumlah saman trafik. Ini mendorong ramai di antara rakyat Malaysia yang mempersoalkan bagaimana pemandu berkenaan masih ‘terlepas’ dan boleh terus memandu.
Beberapa hari selepas berlakunya kemalangan maut yang melibatkan bas yang membawa sekumpulan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris yang berlaku di Jalan Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak, isu ini sekali lagi dibangkitkan. Ia selepas pihak polis mengesahkan pemandu bas terbabit mempunyai 18 saman trafik yang kesemuanya masih belum dilangsaikan. Di mana 13 saman yang dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
Malah ada mengaitkan isu ‘terlepas’ ini dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang dikatakan kurang berkesan. Di mana mata demerit terbabit hanya diberikan sekiranya pesalah trafik berkenaan melangsaikan samannya atau dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah. Tetapi jika ia tidak dilangsaikan, maka tiada mata demerit yang diperoleh dan dia akan terus selamba memandu tanpa risau dikenakan tindakan tertentu dari pihak berkuasa melainkan hanya dikeluarkan saman.
Isu ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengakui sistem demerit ini gagal dan KEJARA perlu dirombak semula. Perkara ini dinyatakan menerusi sidang media dalam kunjungan beliau ke kilang pengeluar bas Scania di Shah Alam pagi tadi.
“Sistem yang direka untuk menolak mata demerit daripada pemandu yang melakukan kesalahan trafik, tetapi tidak berfungsi seperti yang dimaksudkan. Ia gagal menolak mata daripada pemandu yang mempunyai saman apabila pemandu berkenaan tidak membayar samannya.
“Penambahbaikan (rombakan semula) ini bertujuan untuk menangani kelemahan sedia ada, di mana ramai pemandu mengelak daripada dikenakan tindakan hanya dengan tidak membayar saman mereka. Rombakan ini akan memastikan penguatkuasaan yang cepat dan konsisten supaya pemandu yang melakukan kesalahan dipertanggungjawabkan tanpa kelewatan yang tidak perlu,” katanya dengan nada tegas.
Menerusi laman web rasmi JPJ, mengikut sistem Kejara yang mula dilaksanakan sejak 15 April 2017, pengiraan mata demerit tidak bermula ketika OKS (orang kena saman) menerima notis saman dari JPJ atau PDRM. Sebaliknya permulaan pengiraan mata demerit apabila OKS membayar kompaun atau denda bagi kesalahan yang tersenarai di dalam Jadual Kesalahan Mata Demerit.
JPJ turut menyatakan bahawa lesen memandu OKS akan DIBATAL sekiranya lesen memandu OKS digantung menerusi sistem demerit sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun. Selain itu, setelah tamat tempoh penggantungan lesen memandu (12 bulan), OKS boleh memohon semula lesen memandu dan perlu bermula dari awal proses mendapatkan lesen memandu yang disyaratkan oleh JPJ.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.