Hujan lebat yang melanda kebanyakan tempat telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Antaranya ialah Plaza Tol Kemuning di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menuju ke Klang yang dilaporkan turut digenangi air dan menyebabkan kesesakan trafik di lokasi berkenaan.
Menerusi hebahan di Facebook, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut memaklumkan terdapat penutupan lorong di plaza tol berkenaan iaitu membabitkan lorong W01,W02 dan W03. Ini turut melibatkan lorong motosikal yang ditutup buat sementara berikutan air masih bertakung di lokasi berkenaan
Utusan Malaysia pula melaporkan beberapa jalan utama di sekitar Shah Alam dan Klang turut dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi. Antara kawasan-kawasan terjejas ialah Jalan Kebun Barat dan Lorong Haji Yusof di Shah Alam. Manakala di Klang pula, dilaporkan limpahan air berlaku di jalan-jalan utama Bandar Puteri, Sentosa dan Bulan Simpang Lima.
Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.
Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat. Dan segeralah berpindah ke lokasi yang selamat sebelum keadaan kian meruncing.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.