Volkswagen kini sedang mempertimbangkan untuk membangunkan versi prestasi tinggi bagi model elektrik kompak ID 2, dikenali sebagai ID 2 R. Menurut laporan Autocar, model ini berkemungkinan menjadi yang pertama daripada Volkswagen menggunakan motor dalam roda (in-wheel motors) sebagai sebahagian daripada sistem pacuan semua roda (AWD).
Model ID 2 R ini dijangka akan berada di atas ID 2 GTI – model konsep yang diperkenalkan pada tahun 2023 – dari aspek prestasi. Ia akan mengekalkan motor pacuan hadapan dan sistem elektronik kuasa dari ID 2 GTI, tetapi ditambah dengan dua motor kawalan bebas di roda belakang, memberikan sistem pacuan semua roda tanpa menjejaskan ruang but.
Autocar turut memetik kata dari sumber dalaman Volkswagen Wolfsburg, yang memberitahu bahawa pembangunan model R ini sedang dilakukan dengan kerjasama rakan teknikal dari Balkan, dipercayai sebagai pakar dalam teknologi motor ringan berprestasi tinggi jenis in-wheel.
“Sistem ini bakal menggabungkan agihan tork pintar, kawalan yaw berasaskan brek dan mod pemanduan dinamik – memberikan “prestasi dan pengendalian seperti kereta hyper-hatch“, tanpa saiz besar dan kos tinggi sistem motor dwi-konvensional,” kata sumber itu kepada Autocar.
Walaupun begitu, laporan tersebut menyebut bahawa modifikasi besar terhadap platform MEB Plus (asas ID 2) tidak diperlukan sekiranya Volkswagen memilih untuk menggunakan motor belakang konvensional sebagai alternatif. Sebagai perbandingan, ID 2 GTI dijangka menghasilkan sekitar 290 PS, manakala versi ID 2 R dengan tiga motor elektrik berkemungkinan melepasi 400 PS.
Penggunaan motor dalam roda membolehkan sistem pacuan belakang dipasang terus dalam roda, menjadikan model AWD lebih kompak tanpa perlu pengorbanan ruang atau struktur. Teknologi ini juga membolehkan Volkswagen menghasilkan kereta dengan pacuan hadapan (FWD), belakang (RWD) atau semua roda (AWD) atas platform sama – dengan perubahan perkakasan yang minimum.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.