Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

Mitsubishi Indonesia mula menyiarkan teaser untuk sebuah model baru yang namanya masih dirahsiakan. Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, kelihatan sebuah helikopter (seperti pengangkut yang digunakan askar) membawa kotak misteri dengan tulisan yang bermaksud “sudah bersedia untuk destinasi baru anda?”

Kemudiannya untuk keterangan mereka meletakkan pula “sesuatu yang besar akan tiba. Bersedia untuk keterujaannya. Apa kata anda?” Ini memberi pertunjuk bahawa model baru tersebut mungkin bersaiz besar dan dengan pameran Gaikindo Indonesia International Motor Show (GIIAS) bakal berlangsung bulan depan, besar kemungkinan ia akan membuat penampilan sulungnya di sana.

Kita juga boleh menjangkakan bahawa model misteri ini adalah versi produksi kepada DST Concept, sebuah SUV bersaiz sederhana yang pernah ditampilkan di Pameran Motor Antarabangsa Filipina pada Oktober 2024. Menurut Mitsubishi Motors Corporation (MMC), DST Concept memberi bayangan kepada model SUV tiga baris tempat duduk yang akan dilancarkan di rantau ASEAN seawal tahun 2025, iaitu antara April 2025 hingga Mac 2026 – yang bermakna kita kini berada dalam jangka masa itu.

Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

Presiden dan CEO MMC, Takao Kato sebelum ini pernah berkata, “Mitsubishi DST Concept mewakili SUV tiga baris tempat duduk baru yang akan dilancarkan dalam pelan perniagaan pertengahan kami, Challenge 2025. Model produksi ini akan dipasarkan terutamanya di rantau ASEAN termasuk Filipina bermula tahun fiskal 2025.”

Tambah beliau, SUV baru ini akan mengikut jejak langkah Xpander, MPV crossover yang berjaya di ASEAN dan kemudiannya mendapat sambutan global, serta Xforce, SUV kompak yang diterima baik sejak diperkenalkan pada tahun fiskal 2023. “Kami mahu menjadikan SUV baharu ini sebagai kenderaan strategik global dengan identiti Mitsubishi yang tersendiri dan mampu memperluaskan kebebasan mobiliti pelanggan kami,” kata Kato.

Model produksi DST akan menggunakan platform monocoque (bukan berasaskan trak seperti Pajero Sport) dan bukan juga pengganti kepada Xpander atau Xpander Cross. Ia adalah tambahan baru dalam barisan kenderaan utiliti Mitsubishi “untuk pelanggan yang mencari SUV tujuh tempat duduk yang selesa untuk semua penumpang.”

Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

Dari segi rekaan, DST menampilkan elemen reka bentuk ‘Gravitas & Dynamism’ yang banyak berkongsi ciri dengan Mitsubishi Xforce, terutama pada bahagian hadapan dan belakang serta bentuk lampu. Kesan seperti kening pada lengkungan roda belakang yang terdapat pada Xforce kini juga kelihatan pada roda hadapan DST berikutan ketinggian badannya.

Bahagian dalaman pula menampilkan kokpit luas dengan rekaan melengkung yang menghubungkan papan pemuka ke bahagian pintu. Tidak seperti Xforce, rekaan dalam DST ini lebih eksklusif dengan penggunaan bahan lembut premium serta bumbung panoramik besar yang membenarkan cahaya semula jadi masuk. Reka letak skrin berkembar, seperti yang ada pada Xforce, turut digunakan.

Menariknya, walaupun Mitsubishi terkenal dengan sejarah kejayaan rali lasak seperti Dakar, model DST ini tidak dilengkapi pacuan semua roda (AWD). Sebaliknya, ia menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) tetapi dikatakan masih mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan jalan. Lima mod pemanduan disediakan untuk menyesuaikan dengan keadaan jalan di ASEAN – Wet, Tarmac, Normal, Gravel dan Mud.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • wazira609 on Jul 09, 2025 at 7:49 pm

    Semoga DESTOR ni menjadi model SUV 7 seatersterbaik tak sabar nak tunggu 25hb ni

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required