Tak tahu sama ada ini kebetulan atau dirancang – selepas Proton mendedahkan rupa dan membuka tempahan bagi SUV segmen-B Proton X50 facelift pagi tadi, petang ini Honda Malaysia pula mengumumkan bahawa versi facelift untuk SUV segmen-B jenama Jepun itu iaitu Honda HR-V facelift 2025 turut sudah boleh di tempah bermula hari ini.
Menerusi imej yang didedahkan oleh Honda Malaysia, HR-V facelift 2025 pasaran tempatan ini menampilkan rupa yang sama diterima oleh pasaran Thailand di mana versi tersebut telahpun dilancarkan di sana pada November tahun lalu.
Jika anda perhati dengan teliti, model kemaskini ini menampilkan bentuk gril yang sedikit berbeza dengan bahagian bawahnya lebih lebar, walaupun sekali imbas ia masih nampak sama seperti versi sebelumnya. Kedua-dua lampu hadapan juga kini dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar perak pada bahagian atas gril.
Manakala di belakang, grafik LED pada lampu turut dikemaskini yang kini menampilkan lebih elemen jalur melintang, bersama lensa yang digelapkan.
Honda Malaysia hanya mendedahkan rupa versi paling sporty iaitu RS e:HEV yang diberikan gril hadapan dengan elemen seperti Honda WR-V pasaran Jepun (dikenali sebagai Elevate di India), kemudian diberikan spoiler bawah bampar hadapan dan kemasan bawah bampar belakang dalam kemasan hitam berkilat.
Perubahan kecil turut dibuat pada sebelah dalam, juga jika kita tidak akan perasan sekiranya melihatnya sekali imbas. Perubahan tersebut adalah pada bahagian konsol tengah di mana ia kini tidak menampilkan rekaan yang fokus kepada pemandu.
Honda Malaysia mengesahkan bahawa HR-V facelift ini menerima skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen yang dipertingkat, kini diberikan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Varian RS e:HEV pasaran Malaysia ini turut masih diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, yang merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.
Varian lain yang dijana oleh enjin 1.5 liter NA dan 1.5 liter VTEC Turbo masih ditawarkan. Bagi varian NA, ia masih diberikan enjin L15B DOHC i-VTEC empat-silinder sebaris yang sama seperti Honda City, menghasilkan kuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm.
Manakala bagi varian dengan enjin petrol penuh yang lebih berkuasa, ia digerakkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder sebanris yang menghasilkan 181 PS dam tork maksima 240 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,500 rpm. Kedua-dua unit rangkaian kuasa ini hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.
Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing masih dikekalkan, dan dikemaskini dengan penambahan lampu pemanduan adaptif dan juga lampu membelok aktif. Model facelift ini juga akan diperkenalkan dalam warna badan Phoenix Orange Pearl dan juga Crystal Black Pearl.
Masih belum ada sebarang petunjuk berkenaan harga didedahkan oleh Honda Malaysia. Namun syarikat itu ada mendedahkan bahawa Honda HR-V facelift 2025 ini akan dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.