Proton X50 facelift 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Diam tak diam, tahun ini masuk tahun kelima Proton X50 berada dalam pasaran Malaysia. Sepanjang tempoh itu, lebih 130,000 unit SUV segmen B ini sudah terjual. Dan, sepanjang tempoh itu juga, pernah ada empat versi kemaskini atau edisi khas yang diperkenalkan.

Tiga tahun selepas mula dijual, Proton memperkenalkan pula versi X50 R3 pada 2023 — model yang ditujukan sebagai homaj kepada sayap perlumbaan Proton R3, dengan imej hitam-kuning yang sporty. Kemudian, setahun lalu pada Jun 2024, versi X50 RC diperkenalkan, yang hanya melibatkan kemaskini minimal sahaja, tanpa melibatkan perunahan mekanikal. Dan terakhir, pada suku pertama tahun ini, kita menyaksikan model edisi istimewa X50 SE pula diperkenalkan.

Dan kini, Proton sedang mempersiapkan pula versi yang dikenali sebagai ‘X50 Serba Baru’, dan akan dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini nanti. Kami telah berkesempatan untuk melihat darip dekat model terbaru ini awal Jun lalu, dan ternyata ada banyak perkara yang boleh diperkatakan tentangnya. Jadi, apa yang baru?

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Walaupun masih menggunakan asas daripada Geely Binyue L, menurut Proton, X50 2025 ini dibangunkan khusus untuk jalan raya di Malaysia. SUV berkenaan telah menerima sebanyak 245 bahagian baru yang dibangunkan khas untuknya, yang memakan masa kerja terkumpul bagi tujuan R&D serta ujian selama 412,000 jam. Untuk memastikan keboleh-tahanannya pula, model ini telah menjalani ujian jalan raya dengan jarak sejauh 4,300,000 km. Inilah angka-angka yang dikongsi ketika taklimat media oleh Proton, minggu lalu.

Dari segi rekaan, X50 2025 akan dengan senang dapat dibezakan daripada versi sebelumnya. Gril depan kini lebih nipis, dengan perincian “anyaman” yang ada juga berbeza. Masih dikekalkan unsur busur panah dalam warna merahnya. Untuk lampu juga baru, dengan rekaan lebih tipis dan semuanya LED. Perbezaan paling ketara untuk wajah depannya ini ialah rekaan bamparnya — ia kini lebih besar dan jelas kelihatan bahagian hitam — seolah-olah mulut yang agak besar untuk SUV ini — dengan kemasan krom ala bukaan udara di bucu kiri dan kanannya.

Rimnya juga diberikan rekaan baru: kini bersaiz 18-inci dengan rekaan “diamond cut” dua-tona warna. Beralih ke belakang, dari atas akan ada kelihatan kelainan yang ditampilkan untuk versi terbaru ini, dengan dua barang yang berbeza rekaannya — spoiler sport; untuk varian paling tinggi, kehadirannya lebih ketara, tajam dan besar.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Lampu belakang kini dengan jalur berkelebaran penuh LED, dengan rekaan yang juga semakin nipis dalam lekuk tersendiri, dengan tulisan Proton berada kemas di bawahnya. Sporty memang dijadikan mantra paling utama bagi X50 2025 ini — rekaan bawah bampar belakang walaupun tampil dengan garisan-garisan yang lebih ringkas dan kemas, tetap diberikan empat muncung ekzos sebagai visualnya.

Di dalam kabin ada banyak peningkatan. Antaranya X50 2025 kini datang dengan papan pemuka yang lebih rata dan ringkas. Di tengahnya, terletak sebuah skrin infotainmen yang lebih besar dengan saiz 14.6-inci. Skrin berkenaan mempunyai paparan HD penuh (1920 x 1080), paparan skrin lebar 16:9, pemproses quad-core dengan 6GB RAM dan 64GB storan ROM serta Android 10 System.

Selain itu, ciri Voice Command yang ada padanya sudah boleh dikendalikan dalam Bahasa Melayu; ini ciri seumpamanya yang pertama dalam industri ketika ini sebagai tambahan kepada arahan dalam Bahasa Inggeris seperti sebelum ini. Ia akan menerima arahan suara bagi tindakan seperti “Hi, Proton!” untuk buka tingkap, hidupkan pendingin, mainkan muzik, dan tunjuk arah ke destinasi.

Antara pembaharuan paling besar yang sangat ditunggu-tunggu untuk model-model Proton juga kini akan ditawarkan melalui X50 2025 terbaru, apa lagi kalau fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang akhirnya tiba setelah sekian lama ditunggu.

Lampu ambient mengikut ritma, dengan 72-warna juga tersedia sebagai tambahan terbaru. Bahagian konsol tengahnya lebih tinggi dan lapang, dengan adanya ruang pengecasan telefon tanpa wayar (untuk varian paling tinggi) berlapik material seakan baldu di tengah, yang boleh juga digunakan sebagai ruang meletak barang (dengan kapasiti 10 liter tersedia di bawah konsol tengah).

Skrin panel instrumen untuk pemandu yang baru juga menggantikan meter lama: paparan LCD bersaiz 8.88-inci, yang terletak sedikit terselindung di celahan stereng. Selain itu, tuil pemilih gear juga dialih kepada jenis pemilih kolum dan terletak di belakang sebelah kanan stereng. Untuk slot USB, kini ada empat; di depan ada satu jenis Type A dan satu Type C, sementara di belakang pun lengkap dengan sepasang ciri yang sama. Ada juga pelindung matahari semi-telus untuk mengelakkan silau kepada pemandu.

Perubahan paling utama bagi X50 2025 ini ialah enjinnya. Enjin tiga-silinder sebelum ini tidak lagi akan digunakan, dan diganti dengan unit i-GT 1.5TD empat-silinder yang menjana sebanyak 133 kW (181 PS) pada 5,500 rpm dan tork sebanyak 290 Nm dari 2,000 rpm-3,500 rpm. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan minyaknya juga 4.7% lebih jimat.

Pertukaran enjin ini juga pernah dilihat berlaku bagi model Geely Binyue Cool facelift 2022. Ia beralih daripada unit enjin tiga-silinder (unit JLH-3G15T PFI dan juga unit JLH-3G15TD TGDi suntikan terus yang khas untuk varian Flagship) kepada unit enjin 1,499 cc BHE15TD empat-silinder. Ia kekal dengan desakan turbo, dan dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

Sebagai perbandingan, versi suntikan terus enjin tiga-silinder X50 sebelum ini menghasilkan janaan sebanyak 177 PS/255 Nm, sementara versi port injection bagi varian lebih rendah menghasilkan 150 PS/226 Nm. Di atas kertas, enjin empat-silinder baru ini akan memberikan kelebihan dari segi output dan prestasi. Untuk penggunaan minyak, X50 sebelum ini disifatkan memberikan kadar antar 6.4 liter-6.5 liter bagi setiap 100 km, maka untuk versi terbaru ini ia dijangka memberikan sekitar 6.1 liter/100 km.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Dibangunkan oleh syarikat Sweden-China milik Geely, Aurobay (kini sebahagian daripada Horse Powetrain milik bersama antara Geely dan Renault), enjin berkenaan menggunakan nama i-GT 1.5TD oleh Proton dengan i-GT merujuk kepada intelligent-Green Technology.

Ada dua perkara penting di sini: X50 selepas ini hanya akan ditawarkan dengan satu versi enjin suntikan terus sahaja dan tiada lagi versi port injection yang sebelum ini diberikan untuk varian lebih rendah; dan kedua enjin berkenaan akan digunakan oleh semua model ICE Proton yang diambil dari Geely (X70, S70, X90). Sementara itu, untuk Saga terbaru nanti, ia akan menerima unit BHE15PFI 1.5 liter port injection enjin yang sama ini, tanpa turbo.

Selain itu, bagi aspek pemanduan, ada satu mod tambahan terbaru turut diberikan kepada X50 2025. Tiga mod pemanduan yang sedia ada sebelum ini masih dikekalkan — Normal, Sport dan Eco. Dan kini tambahan satu lagi mod yang diperkenalkan ialah Adaptive Mode; kereta akan menerapkan pemanduan mengikut keperluan dan peralihan lancar mengikut corak dinamik pemanduan pemandu secara khusus.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Bagi aspek keselamatan, sistem ADAS Tahap 2 yang ada pada X50 2025 ini juga diberikan kemaskini dan peningkatan. Ia masih menggunakan sistem kamera tunggal, yang mana kini turut disertai oleh fungsi baru, Rear Side Radar System (RSRS) yang menggunakan dua radar gelombang milimeter dan juga empat kamera definisi tinggi 360-darjah dengan pandangan telus 180-darjah. Jumlah sensornya juga ditambah menjadi 12. SUV ini juga hadir dengan enam beg udara SRS.

Kamera monokular di depan mampu membaca situasi sehingga 170 meter, sementara sensor di belakang pula mampu mengesan hadangan dalam jarak hingga 80 meter. Bagi fungsi RSRS, ia terdiri daripada empat fungsi tambahan terbaru untuk X50 2025 — bantuan penukaran lorong (LCA), amaran perlanggaran belakang (RCW), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA) dan amaran bukaan pintu (DOW).

Dengan sistem ini juga kini X50 2025 boleh diparkir sendiri tanpa kawalan pemandu, menerusi ciri bantuan parkir automatik (APA) — boleh untuk parkir undur dan juga sisi, dengan sistem membenarkan pemandu untuk mengalih paparan dan sudut kotak ruang menerusi skrinnya mengikut keadaan dan persekitaran. Berkaitan ini, kamera 360-darjah definisi tinggi pandangan dari atas kini juga telah dipertingkatkan, disertakan juga dengan pandangan tekus 180-darjah untuk membantu pemandu melihat persekitaran dengan mudah.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

Untuk kemudahan pelanggan, satu lagi perkara baru yang diperkenalkan oleh Proton bermula dengan model ini ialah aplikasi mudah alih Proton Link 2.0. Ia akan menjadi hab bagi semua perkhidmatan berkaitan Proton yang bertujuan memperkayakan lagi pengalaman pemilikan pelanggan. Melaluinya, pengguna boleh meninjau dan mengawal perkara berkaitan kenderaan mereka, memanfaatkan perkhidmatan pemetaan dan menjejak lokasi, serta menyimpan semua rekod servis kenderaan.

Proton X50 facelift 2025 akan ditawarkan dalam tiga varian, Executive, Premium dan Flagship. Tiada lagi varian Standard (yang hadir dengan empat beg udara) — kini semua varian lengkap dengan enam beg udara. Sistem ADAS pula hanya melengkapi dua varian paling tinggi; Executive hanya datang dengan RSRS sahaja.

Dengan Executive menjadi penawaran peringkat kemasukan yang baru, asas penawaran X50 kini lebih tinggi — lengkap dengan lampu dan pengilap automatik, enam-pembesar suara dan pendingin automatik. Apa pun, ia masih dengan kerusi balutan fabrik, pintuk ruang barangan manual dan rim aloi 17-inci.

Naik ke varian Premium, ia menerima sistem ADAS penuh, TPMS, rim aloi 18-inci, angkup brek merah, pintu belakang berkuasa, landasan bumbung, lampu aluan di depan, lampu ambient 72-warna, kerusi balutan kulit buatan, kerusi pemandu larasan enam-arah serta kamera 360 dengan pandangan telus 180-darjah.

Varian Flagship pula menerima spoiler belakang besar dalam warna hitam, bumbung hitam, perumah cermin sisi hitam dan kemasan dalaman warna merah. Ia juga satu-satunya varian dengan fungsi parkir automatik, visor pelindung matahari, pengecas tanpa wayar serta bumbung panoramik.

Proton X50 facelift 2025 ditawarkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship (tiada lagi varian Standard), dan didatangkan dalam lima pilihan warna — Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan warna baru Teal Bayou Blue seperti S70, menggantikan warna Ocean Blue.

    Proton X50 1.5TD Executive 2025
    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

  • Enjin 1.5 liter DOHC i-GT TD
  • 1,499 cc turbocas suntikan terus empat-silinder petrol
  • 181 PS pada 5,500 rpm, 290 Nm tork pada 2,000-3,500 rpm
  • Trasmisi klac berkembar basar tujuh-kelajuan
  • Mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Adaptive
  • Pacuan roda depan
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Cakera brek berliang (depan), cakera solid (belakang)
  • 0-100 km/h dalam 7.6 saat
  • Luaran

  • Lampu utama LED auto
  • Lampu DRL LED
  • Lampu belakang LED berkelebaran penuh
  • Garis merah pada gril
  • Kemasan bampar perak
  • Empat muncung ekzos
  • Rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60 R17
  • Dalaman

  • Sistem tanpa kunci dengan Remote Start
  • Kunci/buka kunci jarak jauh auto
  • Butang Push Start
  • Dalaman hitam dengan jahitan kelabu
  • Pelapik bumbung kelabu
  • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
  • Pengilap automatik
  • Kawalan melayar dengan penghad kelajuan
  • Kerusi manual
  • Balutan fabrik
  • Roda stereng multi-fungsi
  • Paparan instrumen digital 8.88-inci
  • Skrin sentuh infotainmen 14.6-inci
  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Kawalan suara “Hi Proton” dengan pilihan Bahasa Melayu
  • Dua slot USB di depan (USB-A dan USB-C)
  • Dua slot USB di belakang (USB-A dan USB-C)
  • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
  • Pelekat RFID
  • Aplikasi Proton Link 2.0
  • Ruang but 330 liter
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • ABS dengan EBD dan Brake Assist
  • Kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan
  • Bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni curam
  • Peninjau titik buta
  • Amaran lintasan trafik di belakang
  • Amaran perlanggaran belakang
  • Amaran buka pintu
  • Kamera undur
  • Sensor parkir depan dan belakang
  • Proton X50 1.5TD Premium 2025
    Tambahan:

    Luaran

  • Landasan bumbung warna kelabu
  • Angkup brek merah
  • Rim 18-inci aloi dua-tona dengan tayar 215/55 R18
  • Dalaman

  • Kerusi pemandu larasan kuasa enam-arah
  • Balutan kulit buatan
  • Lampu ambient 72-warna dengan mode ritma
  • Enam pembesar suara
  • Pintu belakang kuasa elektrik
  • Keselamatan

  • AEB
  • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
  • Bantuan ke tengah lorong
  • Bantuan mengekalkan lorong
  • Pengesan papan tanda trafik
  • Lampu tinggi auto
  • Sistem peninjau tekanan tayar
  • Kamera 360-darjah dengan paparan telus
  • Proton X50 1.5TD Flagship 2025
    Tambahan:

    Luaran

  • Spoiler belakang dengan cetakan gentian karbon hiasan
  • Bumbung dan perumah cermin sisi hitam
  • Dalaman

  • Cermin pandang belakang anti-silau
  • Dalaman hitam dan merah dengan jahitan merah
  • Pelapik bumbung hitam
  • Visor matahari separa telus
  • Bumbung kaca panoramik dengan penghadang matahari kuasa elektrik
  • Pengecas tanpa wayar Qi (belah pemandu)
  • Keselamatan

  • Bantuan Parkir

Proton X50 2025 Premium

Proton X50 2025 Flagship

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required