Semalam subdiari Proton untuk jenama EV iaitu Pro-Net telah pun melancarkan versi kemaskini untuk SUV EV eMas 7 yang menawarkan beberapa perincian dan kemasan tambahan, tetapi masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama seperti dilancarkan pada tahun lalu iaitu RM105,800 untuk varian Prime, dan RM119,800 untuk varian Premium.
Jadi nampaknya Proton tidak menyertai ‘perang harga’ dari beberapa saingan terdekatnya yang kini menurunkan lebih banyak harga bagi menarik pelanggan baharu. Menurut CEO Pro-Net Zhang Qiang dalam ucapannya ketika majlis pelancaran model tersebut semalam, langkah ini diambil bagi memastikan pemilik-pemilik terawal eMas 7 tidak terjejas dengan harga jualan balik yang akan jatuh mendadak.
“Ketika kami melancarkan kereta ini (eMas 7), kami menetapkan harga yang adil dan tepat untuk rakyat Malaysia. Mengurangkan harganya sekarang akan menurunkan nilai kereta itu. Ini tidak adil kepada pelanggan pertama kami, yang percaya kepada kami sejak dari awal. Ia juga boleh melemahkan kepercayaan pelanggan terhadap Proton eMas,” kata Zhang.
“Dalam masa yang sama, kami tahu bahawa mengekalkan harga yang stabil juga akan melindungi keyakinan terhadap Proton eMas — untuk pelanggan kami, rakan kongsi kami dan semua orang yang telah melabur kepercayaan mereka dalam perjalanan ini. Itulah sebabnya, kami akan terus melindungi nilai kereta anda — kerana kepercayaan, nilai dan keyakinan lebih penting bagi kami daripada sekadar membuat jualan pantas. Kami berada di sini untuk jangka masa panjang,” tambahnya.
Walaupun Proton cuba mengelak, eMas 7 dilihat sebagai model yang memulakan perang harga tersebut dalam kelasnya. Sebelum adanya eMas 7, segmen ini dikuasai oleh BYD Atto 3 iaitu SUV EV segmen-C yang tiba ke pasaran Malaysia pada Disember 2022, dijual pada harga RM167,800 untuk varian Extended Range.
Namun selepas eMas 7 diperkenalkan pada Disember 2024, Atto 3 datang dalam versi kemaskini iaitu Atto 3 Ultra yang dilancarkan ke pasaran tempatan pada April lalu dijual pada harga RM118,800 selepas rebat pelanggan terawal.
Satu lagi model dalam saingan segmen yang sama iaitu Chery Omoda E5 juga telah diturunkan harga lebih rendah tak lama selepas itu dengan potongan RM27,000, menjadikan harga jualan hanya RM119,818 untuk unit model 2024. Dan pada bulan Mei, Chery menurunkan lagi harga Omoda E5 sempena jualan penghabisan stok, di mana model tersebut diumum dijual pada harga hanya RM98,818. Omoda E5 ini masuk ke pasaran Malaysia pada Mac 2024, dijual pada harga asal RM146,800.
Untuk eMas 7, harga jualan yang dinyatakan tersebut sebenarnya sudahpun termasuk diskaun RM4,000 – diskaun ini pada asalnya diberikan pada tiga ribu pelanggan terawal yang menempahnya, kemudian dilanjutkan sehingga 6,000 pelanggan terawal, dan sekarang ia sudah menjadi ‘diskaun kekal’ untuk semua pelanggan.
Anda turut boleh mendapat diskaun tambahan RM5,000 menjadikan keseluruhan diskaun sebanyak RM9,000 diberikan menerusi pakej power exchange (ditawarkan untuk semua model Proton) sekiranya ada proses tukar beli dibuat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.