Setahun selepas memperkenalkan model konsep di acara ID. Treffen di Locarno, Switzerland, Volkswagen kini bersedia untuk memasarkan model edisi terhad ID.3 GTX Fire+Ice. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 1,990 unit di seluruh dunia, sebagai penghormatan kepada model klasik Golf Mk2 Fire and Ice dari tahun 1990 – hasil kerjasama asal dengan jenama pakaian sukan Bogner Fire+Ice yang mempunyai ramai peminat sehingga sekarang.
Untuk pasaran Jerman, harga ID.3 GTX Fire+Ice bermula dari 56,020 euro, bersamaan kira-kira RM278,000. Ia masih mengekalkan asas ID.3 GTX dan pembeli boleh memilih antara dua varian – 286 PS atau 326 PS – daripada motor elektrik pacuan belakang. Tork kedua-duanya adalah 545 Nm. Versi lebih berkuasa mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum dihadkan secara elektronik kepada 200 km/j. Suspensi adaptif DCC disediakan secara standard untuk model 326 PS, sementara untuk varian 286 PS ia adalah pilihan tambahan.
Bateri lithium-ion berkapasiti 79 kWh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 185 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilakukan dalam masa sekitar 26 minit. Dengan cas penuh, jarak garak mengikut kitaran WLTP mencecah 591 km – angka yang sangat memuaskan bagi sebuah hatchback elektrik berprestasi tinggi.
Rekaan luar model ini menampilkan sentuhan istimewa – warna badan Ultra Violet Metallic yang diinspirasikan daripada model asal 1990, jalur bingkai bumbung berwarna merah, pelekat lut sinar “Fire+Ice” pada tiang-C, logo Fire and Ice era 90-an pada spoiler bumbung, rim Locarno 20 inci dengan penutup tengah GTX berwarna merah serta lampu belakang gelap. Satu lagi ciri unik tambahan adalah apabila pintu dibuka, grafik ‘api’ akan dipancarkan ke atas lantai di sisi pemandu, manakala grafik ‘ais’ muncul di sisi penumpang.
Bahagian dalaman juga diberi sentuhan eksklusif – tempat duduk berjahit quilted dengan warna khas ‘On Fire Red’ untuk pemandu dan ‘Keep Cool Blue’ untuk penumpang hadapan. Stereng, papan pemuka, trim pintu dan karpet turut menerima jahitan dan logo berwarna mengikut tema Fire+Ice.
Dari segi kelengkapan, ID.3 GTX Fire+Ice hadir dengan pelbagai ciri standard seperti suspensi sport, pakej Interior Plus (tempat duduk sukan dengan fungsi urut, head-up display A.R dan sistem bunyi Harman Kardon), pakej Convenience (navigasi dan kawalan suhu dua zon), serta pakej Assistance (Park Assist Plus, kamera undur, akses tanpa kunci dan kawalan jarak ACC).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.