Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

Nissan telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi kilang Oppama miliknya di Jepun yang penuh sejarah pada akhir tahun kewangan 2027, iaitu pada Mac 2028. Ini adalah salah satu langkah dalam rancangan penstrukturan semula syarikat itu yang digelar sebagai Re:Nissan untuk keluar dari krisis kewangan yang sedang dihadapi sekarang.

Oleh itu semua model-model sedia ada yang sedang diproduksi dan model-model baharu yang dirancang akan diproduksi di kilang Oppama berkenaan akan dipindahkan ke kilang Nissan Motor Kyushu yang terletak di wilayah selatan Fukuoka.

Kilang Oppama tersebut telah memulakan produksinya pada 1961, dan merupakan salah satu kilang automotif berskala besar di Jepun ketika itu. Ia juga menjadi kilang pertama yang memasang model EV pertama Nissan iaitu Leaf pada 2010, dan kemudian disambung dengan produksi Nissan Note yang menerima unit rangkaian kuasa hibrid e-Power.

Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

Selain itu, kilang Oppama yang sering dirujuk sebagai ‘ibu kilang’ Nissan di Jepun ini juga pernah menghasil model-model seperti Bluebird, Cube dan Juke. Buat masa sekarang kilang ini beroperasi dengan sekitar 2,400 pekerja, ke semuanya akan kekal bekerja sehingga tamat tahun kewangan 2027.

“Keputusan ini hanya untuk kilang Oppama yang terletak di daerah Oppama. Fasiliti-fasiliti dan fungsi-fungsi lain di daerah tersebut – seperti Nissan Research Centre, Litar Ujian Grandrive Proving Ground, fasiliti ujian pelanggaran dan Oppama Wharf (pusat penyimpanan dan pengangkutan kenderaan) – akan kekal tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa,” kata Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Hari ini, Nissan membuat keputusan yang sukar tetapi perlu. Ia tidak mudah – untuk saya atau untuk syarikat – tetapi saya percaya ia adalah langkah penting ke arah mengatasi cabaran semasa kami dan membina masa depan yang mampan. Kilang Oppama adalah bahagian yang membanggakan dalam sejarah kami, dan warisannya akan kekal,” kata CEO Nissan, Ivan Espinosa.

Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

Nissan Leaf tanpa pemandu yang bertugas untuk menunda stok-stok baharu kereta yang dihasilkan di kilang Oppama

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada pekerja kami, masyarakat setempat dan rakan kongsi kami yang telah menyokong kilang ini dengan dedikasi dan hati. Kami akan terus beroperasi di kawasan Oppama dengan sokongan padu untuk masyarakat setempat, sambil kami meneruskan semangat kilang Oppama dan berusaha memulihkan nilai sebenar Nissan,” tambahnya.

Penghentian operasi pengeluaran di kilang Oppama ini adalah selaras dengan rancangan penstrukturan semula syarikat bagi mengurangkan kapasiti pengeluaran globalnya daripada 3.5 juta unit (tidak termasuk China) kepada 2.5 juta unit sambil mengekalkan kadar penggunaan kilang sekitar 100%. Ini akan menyaksikan beberapa operasi pengeluaran akan disatukan, bagi membolehkan jumlah 17 kilang dikecilkan hanya kepada 10 kilang, dan kilang Oppama ini antara yang menjadi “korban”.

Nissan turut mengumumkan bahawa produksi van NV200 yang kini dibuat di kilang Nissan Shatai Shonan yang terletak di wilayah Kanagawa akan berakhir pada tahun kewangan 2026 (Mac 2027). Ia akan digantikan dengan model kenderaan komersil ringan (LCV) baharu yang akan diperkenalkan pada tahun kewangan 2027.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required