Nissan menggunakan hatchback elektrik sepenuhnya (EV) Leaf sebagai kereta tunda tanpa pemandu bagi tujuan pengangkutan untuk memindahkan stok-stok kereta di kawasan kilangnya yang terletak di Oppama, Jepun.

Leaf yang dibina khas ini merupakan sebahagian dari sistem Intelligent Vehicle Towing (IVT) yang kini sedang diuji di kilang berkenaan untuk memindahkan kereta-kereta yang telah siap dari barisan pemasangan ke pelabuhan bersepadu.

Sistem ini direka seakan sistem penghantaran automatik lain yang kini digunakan secara meluas di kilang-kilang, tetapi ia berfungsi tanpa infrastruktur khas seperti jalur magnetik atau rel, serta mampu membawa barang yang lebih besar.

Setiap Leaf yang ditugaskan ini dilengkapi dengan kamera dan pengimbas laser yang boleh mengesan garisan penanda, bendul, kereta, orang dan juga objek-objek lain. Ia juga diberikan peta dan laluan yang telah di pratakrif bagi membolehkan ia berubah mengikut keperluan pengangkutan dalam kilang berkenaan.

Kesemua Nissan Leaf ini akan dihubungkan kepada sistem pemantauan trafik berpusat bagi mengesan kedudukan, kelajuan, status serta bateri setiap kereta berkenaan. Ia juga turut mengawal dan membenarkan kereta mana yang perlu bergerak dahulu sekiranya dua buah kereta bertemu di simpang.

Menurut Nissan, sistem IVT ini telah dipasang hampir setahun lalu dan sekitar 1,600 ujian telah dijalankan. Setakat ini Nissan masih lagi belum menyatakan sama ada akan meneruskan ujian tersebut di kilang Oppama, tetapi mereka “akan mengkaji kemungkinan” untuk menggunakan sistem IVT ini di kilang lain, sama ada di dalam atau di luar Jepun.

Selain sebagai memudahkan kerja pengangkutan di kilang, maklumat dari hasil ujian ini turut akan digunakan pada teknologi pemanduan sendiri Nissan yang akan digunakan untuk tujuan komersial.

Sebelum ini, Nissan telah pun melancarkan sistem pemanduan sendiri yang digelar ProPilot generasi pertama dan telah dipadankan pada MPV Nissan Serena generasi terbaharu. Sistem berkenaan berfungsi seakan sistem adaptive cruise control dan sterengnya hanya boleh berfungsi sendiri pada satu laluan jalan sahaja.

Walau bagaimanapun, Nissan menyatakan sistem berkenaan akan dikemaskini dari masa ke masa dan akan sempurna sebagai sistem pemanduan sendiri yang boleh berfungsi di lebuhraya pelbagai lorong menjelang 2018, serta mampu berfungsi sendiri di persimpangan jalan pada tahun 2020.